bukan cinta biasa part.2
Kenduri tahlil selesai hampir pukul 10 malam. Orang-orang kampung sudah mula beredar setelah
menjamah hidangan. Mak Ungku cukup gembira dan bersyukur dengan kehadiran orang-orang
kampung. Walaupun Mak Ungku jarang benar balik ke situ, tetapi orang-orang kampung tetap
menghormati dia. Masih mengingati arwah suaminya. Jiran-jiran terdekat juga ringan tangan samasama
memasak lauk pauk dan mengemas pinggan mangkuk. Semuanya berjalan dengan lancar.
Siti masih lagi belum selesai mencuci pinggan. Banyak lagi periuk belanga yang belum digosok.
Lenguh pinggangnya mencangkung tepi paip di luar rumah. Lisa yang tadi ada bersamanya sudah tidak
kelihatan. Mana peginya budak ni? Curi tulang agaknya! Siti merengus. Dia menyingsing lengan baju
kurungnya tinggi-tinggi. Sudah basah separuh.
"Banyak lagi ker yang nak dibasuh?"Satu suara menegur. Siti mendongak. Wajah Hadi samarsamar
dalam kegelapan malam itu.
"Banyak...."Balas Siti lemah.
"Kesian...mehlah saya tolong.."Hadi pula menyingsing lengan baju melayunya.
"Eh, tak apalah. Awak balik lah dulu..."
"Tak apa. Biar saya habiskan. Periuk ni biar saya yang basuh. Siti tolong bilas aje..."Siti
tersenyum. Dalam hati dia sedikit lega. Bolehlah dia tarik nafas sekejap. Baik hati betul si Hadi ni.
Dahlah peramah, ringan tulang pulak tu. Nak harapkan Wari, ntah mana dia pegi. Dari tadi tak nampak
batang hidung!
Wari yang berdiri di muka pintu, terhenti langkahnya. Pinggan kotor di tangannya dipegang kejap.
Pandangannya tertancap pada dua susuk tubuh di pili air. Hatinya jadi tawar. Semangatnya yang
berkobar-kobar sebentar tadi padam tiba-tiba. Dia masuk semula ke rumah. Tak sanggup dia melihat
kemesraan yang telah berputik itu.
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 13
"Mek Ti!!!!!"Dua tubuh itu menerpa ke arahnya. Siti terdorong ke belakang, cuba mengimbangi
badannya dari jatuh.
"Wei, korang nih!"Siti terjerit. "Lemas aku!"
"Bila kau balik Mek Ti?"Shidah melepaskan pelukan. Murni di sebelah tersengih lebar. Siti menarik
nafas panjang. Semput dia dibuatnya. Wajah dua teman baiknya itu dipandang silih berganti.
"Pagi tadi!"Siti senyum.
"Kau balik sorang ke? Naik bas?"
"Taklah...dengan akak aku....dia mana kasi aku naik bas...."Shidah dan Murni tarik tangan Siti
duduk atas pangkin bawah pokok buah saga.
"Ingatkan tak nak balik sini lagi...."Murni bersuara pula.
"Eh, apa pulak. Kalau boleh tiap-tiap minggu aku nak balik tau. Tapi, mana boleh. Ini pun bos aku
baik hati kasi cuti."
"Hari minggu kan hari cuti. Nak balik tiap-tiap minggu pun boleh, kan."Shidah mendengus.
"Macamana kerja kau, best tak?" Siti telan liur. Bab ni yang dia malas nak jawab.
"Kerja aku biasa jer......."Balasnya perlahan.
"Mesti best kerja kat ofis besar. Pakai cantik-cantik. Tengok baju dia ni...ni mesti baju baru...."
"Mana ada!"Siti geleng kepala. Baju ni Lisa yang bagi dia sebelum dia bertolak balik semalam.
Entah apa angin gadis itu, tiba-tiba dia bersungguh-sungguh minta Siti ambil saja baju tersebut.
Katanya baju itu sudah lama tak dipakai. Daripada disimpan, baik diserahkan kepada orang lain.
"Mesti gaji kau besar, kan Siti?"Murni menyampuk.
"Tak adalah.....gaji aku kecik jer...nantilah kalau ada masa aku belanja korang makan eh. Tapi
sekarang ni kita citer pasal lain pulak. Aku malaslah nak citer pasal keja aku tu.."Dengus Siti. Dia
bangun dari pangkin. Berjalan mundar mandir di depan Shidah dan Murni. "Ala..Mek Ti...kitaorang nak
tahu juga kau duduk KL tu macamana...best ker tak best. Pakwe-pakwe kat sana hensem-hensem
tak?"Siti ketawa. Manalah ada pakwe sangat. Paling tak pun si Wari saja yang dia jumpa. Lainlah kalau
dia ke sana ke mari. Mesti ramai lelaki yang dia temui. "Kau jumpa pakwe baru, meranalah Huzair..
"Siti telan liur. Mendengar nama Huzair hatinya mula berdebar. Dia tidak nampak kelibat Huzair di
padang petang itu. Kemana dia? Masih adakah lagi dia di kampung ini?
"Huzair...mana?"Tanya Siti perlahan. Ditebarkan pandangannya ke tengah padang. Beberapa
susuk tubuh terkinja-kinja mengejar bola sesama sendiri. Tidak pula terlihat Huzair. Siti paling kenal
susuk tubuh lelaki itu. Tegap dan sasa, jauh beza dengan saiz budak-budak kampung. Dan kulitnya yang
putih kemerahan itu terlihat jelas setiap kali dia bermandikan peluh.
"Zair dah balik KL..."Shidah turut bangun. Rambutnya yang lurus itu berkibar-kibar di tiup angin
petang.
"Balik KL?"Siti gigit bibir. "Bila?"
"2-3 hari lepas kau bertolak ke KL, dia pun pergi sama."Balas Shidah lagi. "Kesian dia....lain
macam je aku tengok. Apa yang berlaku antara korang ha, Siti?"
"Emm...tak ada apa-apa. "Siti geleng kepala."Dia ada cakap dengan aku dia nak kerja kat KL."
Itupun kalau aku terima pinangan dia dulu! Siti tarik nafas panjang. Tapi aku dah tolak. Dia pergi KL nak
cari aku ker? Isssh....mustahil. Bukankah mak ayah dia ada di KL. Buat apa dia susah payah nak cari
aku. Lagipun dia bukan tahu aku kerja di mana. Mungkin dia betul-betul nak mencari kerja di sana.
Siapa tahu?
Dia tahu Huzair kecewa, mungkin. Tapi itu semua bukan salah dia. Dia tidak pernah menganggap
lelaki itu lebih dari sepatutnya. Huzair saja yang punya perasan itu. Tapi tidak dia. Jadi, salahkah dia
kiranya menolak hasrat murni Huzair itu. Rasanya tidak. Dia ada hak. Hak untuk memilih jalan hidupnya
sendiri. Kalau ditakdirkan jodohnya dengan Huzair pun, dia boleh terima, tetapi bukan buat masa ini.
Dia terlalu muda untuk melalui semua itu. Dan Wari?
Tempohari, selepas balik dari Perak, lelaki itu menghilang diri. Hampir 2-3 hari lamanya. Lisa kata
mungkin dia ke rumah Rina. Buat apa? Bukankah mereka baru lepas bertengkar beberapa hari yang
lepas. Adakah Wari bermalam di sana? Adakah itu memang cara hidup mereka. Atau mereka sudah
berbaik-baik semula.
Kenapa dia harus mengambil tahu. Semua itu tidak ada kaitan dengan dirinya. Tapi dia selalu
memikirkannya. Kenapa ya? Kadang-kadang dia merasakan dirinya begitu tidak adil. Dia cuba menjauhi
Huzair dengan alasan dirinya belum bersedia, belum layak untuk melalui semua itu. Tapi dalam masa
yang sama, hatinya sering berkata-kata. Berkata-kata tentang lelaki lain. Tentang Wari.
Kenapa aku jadi begini??
"Siti!"Siti tergegau. Didongakkan wajahnya. Wajah Kak Melah nampak berbalam.
"Apa duduk dalam gelap ni?"Suis lampu dipetik. Siti mengesat pelupuk matanya. "Petang tadi
pergi mana?"
"Jumpa Shidah dan Murni..."Balas Siti perlahan. Dia bangun, mencapai tualanya.
"Huzair?"
"Issh..akak ni!"Siti merengus. Melah ketawa.
"Siti kemaskan dulu baju. Esok kita balik pagi...."
"Kenapa nak balik pagi pulak kak....kata balik petang...."
"Malam Mak Ungku nak amik anak dia kat airport...."Balas Melah sambil tangan pantas menutup
tingkap satu persatu.
"Maria?"
"Maria balik malam ni. Baru tadi dapat tahu...."
"Pembedahan dia tu dah habis ye, kak?"
"Agaknya.....dah sebulan.....takkan tak siap lagi...."Siti senyum tawar. Maria dah balik, bernama
tugasnya akan berakhir pada bila-bila masa. Bermakna dia akan pulang ke kampung semula. Menjadi
seperti dulu-dulu. Bermakna dia tidak akan bertemu lagi anak-anak kecil itu. Mak Ungku, Lisa dan.....
.Wari.
****************************************************
"Kenapa dengan aku ni?"
Wari bingkas dari katil. Dia menjengah ke tingkap. Tiada apa-apa yang menarik perhatian. Hanya
kesuraman malam disinari lampu neon keliling kolam. Wari menarik nafas panjang. Ditebarkan
pandangannya. Malam minggu begini alangkah seronoknya dapat berlibur bersama teman-teman.
Seperti yang selalu dia lakukan. Mengunjungi pub-pub yang sentiasa dipenuhi manusia-manusia yang
kehausan. Kehausan hiburan. Atau menghabiskan masa sepanjang malam bersama Rina. Menghadiri
pesta atau makan-makan. Ahh...Rina! Gadis itu terlalu mudah untuk ditewaskan. Cukup dengan sebotol
minuman dan belanja makan, dampingilah dia sepanjang malam. Walau dengan aku, atau lain-lain
jantan! Wari kertap bibir. Bayangan dua susuk tubuh yang terdampar di sofa malam itu bukan mudah
untuk dia lupakan. Walau hanya di atas sofa!
Rina mabuk malam itu. Dia tahu. Dia juga sudah pening-pening lalat. Dia tidak sedar apa-apa
saat dia tersembam atas lantai itu. Dan biarkan Rina bersama-sama lelaki lain.
"Ri, you pun mabuk malam tu. You pun tidur ramai-ramai dengan betina-betina lain!"Jerit Rina,
tidak dapat mengawal perasaannya. "So, apa yang you nak marah sangat!"
"I, tak tidur dengan siapa-siapa. Even dengan you sekalipun I tak pernah, isn't it? Apa lagi dengan
perempuan lain."
"I mabuk, I tak ingat apa-apa. I cuma tidur, dan bila bangun Fadzli dah ada sebelah I."Rina
mencemik."Ri, I tak sengaja. I'm so sorry...."Digenggamnya jemari Wari lalu dikucup berkali-kali.
"Lagipun, kitaorang tertidur kat sofa. Mimi dan Darlin pun ada sekali."
"Tapi dia peluk you..."
"I tahu....that's why I mintak maaf sangat...I tak sengaja. Please...."Rengek Rina. "Fadzli ada call
you?"
"Handphone I dah hancur....tak payah nak call..."Wari tarik tangannya lantas dicapainya helmet
atas meja.
"You nak balik ke? Malam ni?"Rina mengekori Wari ke pintu.
"Malam ni I tak ada mood. Kirim salam kat parents you. Sorry I tak dapat tunggu.."Rina hanya
terkebil-kebil memandang Wari.
Wari tahu dia tak sepatutnya marah Rina begitu. Bukan salah Rina seratus peratus pun. Salah dia
juga. Dia juga yang bawa Rina ke tempat-tempat begitu. Jadi dia harus tanggung risikonya. Dia yang
ajar Rina dengan kehidupan begitu. Dia yang ajar atau Rina yang banyak mempengaruhinya? Anak
Datuk itu memang lincah. Hidupnya lepas bebas. Aku yang selalu hanyut bila disampingnya. Wari
menggeleng. Tekaknya terasa perit. Sejak balik dari Perak tempohari, badannya letih lesu. Mungkin
penat memandu. Dia juga kurang tidur. Mungkin matanya yang selalu berjaga hingga ke pagi sudah
payah benar untuk dilelapkan. Itulah kesannya kalau suka jadi kutu embun.
Esok Kak Maria pulang dari London. Bagaimana keadaan dia. Sudah sihat ke? Atau semakin teruk.
Harap-harap Kak Maria masih ada harapan. Kalau Kak Maria terus-terusan sakit, siapa yang akan
menggantikan tempatnya. Siapa yang akan menguruskan syarikat arwah Papa? Dia? Dia belum
bersedia dan dia tidak mahu memikul tanggungjawab besar itu. Dia masih muda dan tak mahu masa
mudanya terikat dengan bebanan itu. Dia masih perlukan masa untuk menyiapkan diri.
Dan esok mungkin antara hari-hari terakhir Siti di sini. Kak Maria sudah balik, tentu Siti akan
pulang ke kampung. Siti tak akan menjaga Didi dan Fifi lagi. Dan dia tak akan tinggal di sini lagi. Aku
bagaimana? Wari tarik nafas panjang. Kenapa perasaan aku jadi begini? Apa yang aku risaukan? Siti
bukan sesiapa di rumah ini. Dia orang asing.
Kenapa aku marah bila dia bersama Hadi tempohari? Kenapa hati aku jadi sakit begitu. Aku benci
melihat kemesraan mereka berdua. Aku benci melihat renungan Hadi yang penuh makna itu. Dan aku
jadi benci bila melihat Siti melayannya mesra. Kenapa tidak aku? Kenapa Siti tidak senyum dan ketawa
seperti itu. Siti takut melihatku. Siti takut pada renunganku.
Sememangnya hati ini tiba-tiba jadi kalut begini. Adakah kerana marahku pada Rina? Adakah aku
amat sakit hati pada Rina sehingga aku sengaja beralih pada Siti. Adakah aku sengaja jadikan gadis itu
tempelan untuk menutup sakit hatiku ini? Siti terlalu berbeza. Mustahil untuk aku jatuh hati padanya.
Terlalu pantas. Dan dia akan pergi selepas ini.
Dan perasaan ini?
***************************************
"Kak Maria...."Lisa memeluk tubuh kurus di hadapannya. Lama pelukan itu. Siti jadi terharu
menyaksikannya. Wajah Maria yang cengkung itu ditatap lama.
"Didi dan Fifi tak ikut sama?"Matanya meliar ke sekeliling.
"Tak. Fifi dah tidur...tak sampai hati nak kejutkan dia.."Maria tersenyum. Walau wajah cengkung,
matanya bercahaya. Nampak kegembiraan terpancar di situ.
"Mama sihat?"Dia beralih pada Wari pula. Wari mendakap kakaknya lama.
"Mama makin sihat...."Balas Lisa tersenyum. "Akak macamana?"
"Okay!"Maria mengangkat ibu jarinya.
"Abang Min mana?"
"Dia tunggu beg tadi....ha tu pun dia!"Semua mata beralih ke belakang. Seorang lelaki sedang
menyorong troli menuju ke arah mereka. Senyuman lebar terukir di bibir.
"Lama betul tunggu beg-beg ni..."Dia bersuara sebaik berdiri di sebelah Maria. Dipeluknya bahu
wanita itu.
"Jom, Mama dah lama tunggu kat rumah tu..."Wari menurunkan beg dari troli.
"Haa....lupa nak kenalkan kak Mar....ni Siti, dialah yang jaga Didi dan Fifi masa akak kat
sane..."Lisa tarik tangan Siti ke depan.
"Abang Min, kejaplah....nak kenalkan Kak Siti ni..." Maria memandang Siti tunak. Siti
melemparkan senyuman. Rasa serba salah dengan penerimaan Maria nanti.
"Oh, ni Siti yang Mama citer dulu. Adik Melah, kan?"Siti angguk pantas. Maria mendekati Siti.
Digenggam erat jemari Siti.
"Terima kasih sebab tolong jaga Didi dan Fifi. Mereka tu nakal. Mesti Siti penat jaga mereka,
kan?"
"Eh, taklah Kak Mar. Diorang tu baik sangat..nakal sikit-sikit jer.."Siti ketawa halus. Maria
memeluk bahu Siti, sambil berjalan beriringan ke pintu keluar. Wari sudah hilang dari penglihatan.
Mungkin dia mendapatkan kereta yang diparking agak jauh dari pintu masuk.
Perjalanan malam itu agak lancar dengan Maria rancak bercerita tentang pengalamannya di sana.
Siti hanya mematikan diri. Tidak ada satu pun perbualan mereka yang membolehkan dia mencelah.
Cuma sesekali dia turut ketawa bila ada sesuatu yang lucu dipendengarannya. Dia rasakan ada baiknya
dia tinggal di rumah saja tadi, tak perlu ikut serta menjemput Maria. Selepas mengangkat Fifi ke bilik
tadi, dia berkira-kira untuk terus melelapkan mata, sementelah dia rasa terlalu letih sepanjang
perjalanan dari kampung ke KL pagi tadi. Tapi ajakan Lisa yang beriya-iya tidak mampu ditolak. Kata
Lisa dia tidak mahu pergi berdua dengan Wari kerana lelaki itu 'moody' sejak akhir-akhir ini.Kalau ada
dia, bolehlah dibuat teman berbual.
Sampai di rumah, Siti menolong sama memunggah beg dari bonet kereta. Maria sudah naik ke
atas bertemu Mamanya. Lisa juga sudah tidak kelihatan. Siti cepat-cepat masukan beg ke dalam rumah
dan bersedia untuk masuk ke bilik. Dia sudah mengantuk benar. Bantal dan katil sudah terbayangbayang
di ruang mata.
"Siti..."Siti sedikit terkejut. Langkahnya terhenti, lalu dia berpaling. Wari berdiri di hadapannya.
"Boleh buatkan minuman. Kopi ker....nescafe ker..."Siti terangguk-angguk.
"Untuk Wari?"
"Untuk semua..."Satu suara menambah. Azimin yang berdiri di muka pintu, tersenyum.
Pandangan matanya bercahaya. memandang Siti penuh makna.
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 14
Sejak dua tiga hari yang lepas, Siti sudah mula mengemas barang-barangnya. Baju-baju kurung
yang rasanya tidak dipakai lagi telah dilipat elok-elok untuk disimpan dalam beg. Dia sudah bersedia
untuk dipanggil bila-bila masa oleh Mak Ungku. Kalau hari ini juga disuruh pulang ke kampung, dia tidak
akan menolaknya. Dia tahu khidmatnya tidak diperlukan lagi. Maria sudah kembali. Dia sudah punya
banyak masa untuk mengurus anak-anaknya sendiri. Didi dan Fifi pula sudah jarang bersamanya.
Mereka lebih banyak menghabiskan masa bersama Mama mereka. Cuma sesekali anak-anak itu
meminta dibawakan ke taman permainan di taman tersebut, Siti akan tetap menjadi peneman setia.
Anak-anak itu tetap manja dengannya.
Maria sejak pulang dari London, masih belum keluar ke mana-mana. Ke pejabat juga tidak. Dia
lebih banyak menghabiskan masa bersama Mak Ungku. Setiap pagi selepas menghantar suaminya di
muka pintu, dia akan kembali ke kamar, mengurung diri. Didi dan Fifi tetap Siti yang uruskan. Bila
tengahari, dia akan turun sebentar. Menjamah makanan sedikit, sambil menunggu anak-anaknya
pulang. Wajah Maria pucat benar. Kadang-kadang Siti kasihan melihatnya. Dibandingkan dengan Azimin
yang segak itu, terlihat benar perbezaannya. Derita sungguh dia menanggung kesakitan itu. Sehingga
memamah kecantikan dan kesegaran tubuh badannya.
Tapi Siti tidak tahu, sampai bila dia harus menunggu. Sehingga kini, Mak Ungku belum lagi
memanggilnya untuk memperkatakan tentang khidmatnya di rumah itu. Setiap kali dia bawakan
sarapan ke bilik, tidak pula Mak Ungku menyebut tentang penamatan khidmatnya itu. Mak Ungku tetap
seperti biasa. Rajin berbual dan ramah bercerita. Kadang-kadang bila dia bersama Maria mengambil
angin di tepi kolam, Siti diajak sama minum petang. Siti turutkan juga. Manalah tahu Mak Ungku izinkan
dia untuk pulang ke kampung, dan tak perlu menjaga Didi dan Fifi lagi. Tapi Mak Ungku tetap tidak
sebut apa-apa.
Tergerak juga hati Siti untuk menanyakan sendiri pada Mak Ungku, bila dia akan iberhentikan.Bila
dia boleh segera pulang ke kampung. Tapi lidahnya kelu bila berhadapan dengan orang tua itu. Tak
sampai hati. Tak patut rasanya kalau dia memulakannya.Nampak sangat aku yang hendak berhenti
cepat-cepat. Apa anggapan Mak Ungku nanti. Maria pun belum pulih benar. Wajahnya masih pucat, dan
semalam dia muntah-muntah lagi. Kasihan!
Sudahnya, Siti masih meneruskan tugasnya di rumah tersebut. Selain menguruskan kedua anak
kecil itu, Siti cuba-cuba membantu Kartini. Walaupun Kartini memandang endah tak endah padanya,
tetapi Siti tebalkan muka juga. Dia cuba beramah mesra. Sudah sebulan di situ, sukar benar rasanya
menjalin hubungan dengan wanita itu. Apalah yang dia pandang rendah sangat kat aku nih! Siti selalu
mengeluh begitu. Tapi Siti tidak pernah ambil hati. Dia cuba membuang anggapan yang bukan-bukan
terhadap Kartini. Walaupun dia sendiri hairan. Sejak Maria pulang, kerap kali Kartini hilang dari
pandangan.
************************
"Awak kata tadi, Lisa nak ikut sama?"Siti muncung. Dia rasa tertipu petang itu. Mati-mati dia ingat
Wari akan mengambil Lisa di sekolahnya. Kalau dia tahu awal-awal, sumpah dia tak nak ikut.
"Lisa dah balik naik bas....nak buat macamana?"Wari menjawab malas. Tidak dipandangnya wajah
gadis itu. Dalam hati dia ketawa sendiri.
"Kalau macam tu, kita balik sajalah...."Siti bungkam lagi. Dia teringatkan Didi dan Fifi yang
pastinya sudah sampai di rumah waktu-waktu begini. Siapa yang akan melayan makan mereka?
"Dah alang-alang keluar ni, kita pergi je lah terus...."Balas Wari lagi. Tumpuannya tetap di jalan
raya. Tak berani pula rasanya memandang wajah gadis itu. Dia tahu Siti marah. Tapi, bukan mudah bagi
alasan untuk ajak dia keluar. Kalau tak gunakan nama Lisa, pasti gadis itu menolak ajakannya. Sebelum
Siti pulang ke kampung, baik dia mulakan dulu tindakan gilanya itu.
"Awak nak pergi mana sebenarnya?"Siti toleh ke arah Wari.
"Siti temankan saya pergi ke ofis ye..."
"Ofis siapa?"
"Ofis kak Mar....ofis arwah Papa....."Wari menoleh sekilas. Siti cepat-cepat alih pandangan.
"Kenapa bawa saya, seganlah...."Dengus Siti. Hujung bajunya ditarik-tarik perlahan.
"Saja....saya pun dah lama tak jenguk ofis Papa....."Balasnya lagi.
"Saya nak tunjukkan pada Siti. Mana tahu satu hari nanti Siti boleh kerja kat situ...." Siti ketawa
kecil. Dia menggeleng kepala. Manalah layak aku bekerja di pejabat yang besar-besar begitu. Setakat
SPM aku ni, jadi pembantu rumah jelah nampaknya.
"Kenapa Siti diam?"Siti menggeleng.
"Tak ada apa-apa....."Balasnya perlahan. Pandangan tertancap ke depan. Dadanya yang berdebardebar
sejak tadi sudah mula mereda.
"Siti marah ke saya bawak Siti keluar ni?"Siti geleng lagi.
"Tak lah.....buat apa saya nak marah. Saya tak ada hak nak marah....sebagai pekerja, saya
kenalah ikut apa saja arahan majikan...."
"Siapa majikan Siti. Saya?"Wari tertawa besar. "Siti bekerja dengan Mama, bukan dengan saya.
Saya tak rasa pulak Siti ni bekerja dengan kami semua. "Dia menarik nafas panjang. "Siti cuma
menolong saja, kan....bukan bekerja..."
"Tapi saya diberi gaji.."
"Itu imbuhan....sebagai rasa terima kasih....bukan gaji.."Wari ketawa lagi. Dipandangnya wajah
Siti yang bungkam. "Kenapa tiba-tiba awak jadi baik macam ni?"Siti mendongak. Menentang wajah
lelaki itu.
"Baik?"Wari telan liur. Dia terdiam sebentar.
"Iyelah...tiba-tiba je awak jadi peramah dengan saya ni, kenapa?"Wari garu kepala yang tidak
gatal. Sombong dipersoal, jadi baik pun dipersoal.
"Tak ada apa-apa....saya....memang macam ni....salahke?"Wari memperlahankan keretanya. Siti
memandang bangunan besar di hadapannya. Tinggi memuncak. Agaknya ini syarikat milik keluarga
Wari. Dia menjengukkan kepalanya.
"Buat apa jenguk-jenguk macam tu, kita dah sampai pun....jom!"Wari mematikan enjin kereta.
"Saya tunggu kat bawah je la...."Siti bersuara sebaik turun dari kereta. Wari memandang Siti
dengan dahi berkerut.
"Tak nak ikut saya naik atas ke?"Siti menggeleng.
"Siti tunggu kat dalam la. Sejuk sikit.."Siti menuruti langkah Wari.
"Saya naik atas kejap ambik barang....tak lama..."Wari bergegas menekan punat lif. Siti
melabuhkan punggung di atas kerusi yang tersedia disitu. Ruang yang dingin itu benar-benar memberi
kesegaran. Dia memerhatikan sekeliling. Cantik sungguh pemandangan sekitarnya. Kalaulah dia dapat
bekerja di situ!
Wari masuk ke pejabat di tingkat 10. Sudah lama rasanya dia tidak menjejak kaki di situ. Kalaulah
bukan kerana permintaan Maria, rasanya berat hati untuk dia memulakan kerjaya di situ. Dia belum
bersedia lagi untuk melalui suasana yang formal sebegitu. Dia tidak teruja walaupun jawatan yang
dijanjikan nanti bukan calang-calang bagi seorang graduan sepertinya. Tapi otaknya sendiri sudah tepu,
dan payah untuk diasak dengan isu-isu politik kerja begitu. Kalau boleh dia ingin bebas memilih kerjaya
sendiri. Tapi apa boleh buat. Tak sanggup dia melihat airmata Maria yang menitis tempohari. Maria dah
tak berdaya untuk menyambung usaha Papa. Maria ingin bersara walaupun masih terlalu awal rasanya.
Wari mengambil dokumen di atas meja di dalam biliknya. Bilik itu masih dalam peringkat baik
pulih. Bingkai-bingkai gambar masih belum digantung. Kerusi dan meja juga masih belum ditukar baru.
Menurut Azimin, proses pemasangan tersebut mungkin mengambil masa selama 2-3 hari. Wari tidak
kisah berapa lama pun. Lagi lambat lagi bagus. Dia tidak suka bergelar orang korporat terlalu awal.
Dunia korporat bukan dunia dambaannya. Lainlah Azimin.
Pejabat Azimin di tingkat 8. Tetapi Wari tidak bercadang untuk menjenguk abang iparnya itu.
Entah kenapa, sejak dulu, dia memang tidak begitu rapat dengan lelaki itu. Walaupun sudah bertahun
usia perkahwinannya dengan Maria, sehingga lahir Didi dan Fifi, Wari tetap berasa janggal dengan lelaki
itu. Mungkin kerana jarak usia mereka yang tidak berbeza. Azimin muda dua tahun dari Maria. Sebelum
berkahwin, jawatannya bukanlah mewah sangat. Selepas Papa meninggal, barulah dia menjadi
pengurus besar di bahagian kewangan. Dan setelah Maria jatuh sakit, segala kuasa mutlak jatuh di
bahunya. Wari tidak pula keberatan. Walaupun dia tidak berapa gemar dengan perangai Azimin, tetapi
dia tidak pula melarang Azimin daripada menguruskan syarikat tersebut. Sekurang-kurangnya ada
orang yang boleh diharapkan selain dia. Nak harapkan dia, berbuih mulut Mama menasihatkannya. Ini
pun, kalau tak kerana Maria, memang dia tak akan sentuh dokumen-dokumen yang hanya
memeningkan kepalanya nanti.
Wari turun ke bawah semula. Dokumen dalam fail dikepit kemas. Dia bercadang untuk makan
dahulu sebelum menghantar Siti pulang. Walaupun sekejap, dapat juga dia keluar dengan gadis itu hari
ini. Mungkin ini yang pertama dan terakhir. Mana tahu esok lusa Siti sudah pulang ke kampung.
Ahh....Siti..., teruslah tinggal di sini. Tak perlu pergi!
Sampai di tingkat bawah, dia memerhatikan sekeliling. Tiada kelibat Siti di situ. Kemana dia? Aku
naik pun, bukannya lama sangat. Dah hilang dah...Gerutu Wari. Dia menjenguk ke luar. Tapi Siti tidak
kelihatan di dalam kereta. Pastinya kerana kereta itu telah dikunci sebaik mereka keluar tadi. Takkan
diculik pulak? Mustahil. Ahh....gadis secomel itu, pak guard Bangla ni pun boleh sapu agaknya.
Wari menghela nafas panjang. Dia duduk di atas kerusi sambil membuka fail biru di tangan.
Berkerut dahinya menatap angka-angka yang tercatit di setiap helaian. Sesekali dia menggeleng. Betul
ker aku nak study benda ni, semua? Issh.... Dia melemparkan pandangan ke pintu lif yang terbuka.
Seorang gadis berjalan perlahan ke arahnya.
"Siti ke mana?"Wari bingkas bangun.
"Kenapa? Cari Siti ker?"Siti sedikit terkejut.
"Iyelah....saya turun Siti tak ada....ingatkan dah kena culik.."Wari tersengih. Siti ketawa kecil.
Wajahnya memerah.
"Emm..saya ke surau tadi....tu ada signboard dia....kat tingkat 1..."Balas Siti. "Minta maaflah
kalau buat awak tercari-cari... Wari tarik nafas lega. Dia mendekati Siti.
"Buat apa kat surau?"Siti kerut dahi. Wajah Wari dipandang lama. Buat apa?
"Errr...solat...solat zuhur..."Wari tergegau. Wajahnya merah padam. Bodohnya aku nih.....pergi
surau tentulah nak solat. Apalah aku bagi soalan bawah umur macam tu.
"Emm....awak tak pergi solat dulu ker?"Wari tersengih tawar. Dia menggaru kepalanya. Terasa
wajahnya sudah mula membiru.
*****************************
Macamana nak solat, tubuh aku ni penuh dengan benda haram! Mengalir di segenap uratku. Telah
menjadi darah dan dagingku. Dan memang sudah sekian lamanya aku tidak pernah sujud di sejadah itu.
Menghadap Tuhanku.
Wari menelentang atas katil. Dia meraup wajahnya dua-tiga kali. Rasa panas menjalar ke segenap
tubuh. Nafas ditarik dalam-dalam lalu dihelanya perlahan. Fikirannya terawang.
Dia rasa malu pada Siti. Malu pada diri sendiri. Ya, malu pada diri sendiri. Setelah sekian lama, dia
tidak pernah sedar dan menginsafi diri. Sudah terlalu lama dia tidak menghadap Yang Esa. Sudah terlalu
lama dia tidak mengalunkan bacaan-bacaan suci yang suatu masa yang lampau dulu, dia amat suka
membacanya. Sudah terlalu lama wajah dan tubuhnya tidak dibasahi air suci wuduk. Agghh.....
berdosanya aku!
Macamana dia ingat itu semua kalau setiap malam dia lebih suka terkinja-kinja di ruang dansa,
menikmati cahaya lampu yang bertukar-tukar warna. Setiap malam rela membasahi kerongkong dengan
air setan yang berbusa. Setiap malam diulit tubuh-tubuh gebu yang rela menemani hingga ke pagi.
Bagaimana dia ingat untuk sujud nasuha kalau malam-malam yang dilalui terasa singkat benar. Dingin
nya subuh tidak pernah menggamit tidurnya untuk menghadap yang Maha Pencipta. Pencipta siang dan
malam. Dingin subuh baginya adalah saat yang paling enak untuk menutup mata.
Terlalu jauh perjalanan hidupnya dahulu. Perjalanan hidup yang banyak dicemari dengan
pengisian material, bukan kerohanian. Kerohanian yang sering diajar oleh arwah Papa dulu-dulu. Arwah
Papa yang tidak jemu-jemu mengingatkan dia tentang ketakwaan dan kehambaan. Bukankah tangan
Papa yang sering memiat telinganya dulu-dulu, tiap kali dia tersasul membaca Mukaddam. Tangannya
juga yang selalu menjentik hujung hidung ini tiap kali malas bangun di Subuh hari. Tegasnya Papa
waktu itu. Tapi tegasnya itu tidak kekal lama. Bila Papa pergi, dia sendiri lupa. Sendiri hanyut.
Kasihan Papa. Kalau dia masih hidup sekarang ini, pasti dia berduka hati. Pasti dia kecewa dengan
sikap anaknya ini. Tapi Papa telah pergi! Apa yang ada pada Papa sekarang ini? Papa tidak punya apaapa.
Papa hanya punya anak-anak yang tidak pernah menitipkan doa untuk kesejahteraannya di sana.
Papa punya anak-anak yang mewah tapi tidak mampu menghadiahkan walau sekalung doa atau bacaan
surah. Papa punya anak-anak yang lupa diri.
Ya Allah! Wari mengesat pelupuk mata. Pandangannya berkaca. Dia mengalih mata.. Menghadap
potret besar di atas meja. Potret mereka sekeluarga. Dia lihat wajah Maria yang segar bugar dulu. Maria
yang dulu juga terkinja-kinja, kini hanya memencil diri. Tiada lagi hilai tawanya. Tiada lagi lagak
lincahnya. Sekelip mata saja nikmat yang diberi diambil semula. Kini, wang yang banyak juga tidak
mampu mengembalikan tawanya. Wang yang banyak tidak mampu mengembalikan bahagianya.
Apa yang ada pada Maria kini? Hanya sisa-sisa pengharapan. Dan keajaiban dari Tuhan.
Kalau itu yang Tuhan mahu. Sekelip mata!
Wari menggeleng kepala. Sesak di dadanya semakin terasa.
*****************************************************
"Mama dah cakap dengan Siti?"Maria melabuh punggung di sisi Mak Ungku. Wajah tua itu
dipandang lembut. Mak Ungku tersenyum sambil menggeleng.
"Belum lagi..nantilah..."Balas Mak Ungku.
"Mama cakaplah awal-awal....takut nanti dia mintak berhenti pulak..."Maria mengalih pandang.
Melihat Siti yang tekun memerhatikan Didi menyiapkan kerja sekolah.
"Tak lah...Ma tak rasa Siti nak mintak berhenti. Ma tengok dia seronok di sini..."
"Hati orang Ma....bukannya kita tahu. Lagipun janjinya dulu sampai Mar balik, kan...
"Nantilah...ada kesempatan nanti Ma cakaplah......".Maria tarik nafas panjang. Kalau boleh dia
sendiri yang ingin bercakap dengan Siti. Tapi Mamanya melarang. Tunggulah, kalau diberitahu baik-baik,
pasti Siti setuju. Pasti Siti tidak kisah untuk tinggal di rumah itu untuk sebulan dua lagi.
"Kamu dah fikir masak-masak ke, Mar?"Maria mengangkat muka. Dihela nafasnya panjang.
"Dah Ma....Mar rasa Mar tak salah pilihan...."
"Azimin?" Sepi.
"Bagaimana dengan Azimin? Dia tak cakap apa-apa?"
"Azimin setuju Ma..."Balas Maria lambat-lambat. "Dia tak kisah. Lagipun kami dah bincangkan hal
ni lama dulu....Mulanya dia tak nak juga.....tapi sampai bila Ma?"
Mak Ungku tarik nafas. Dipandangnya wajah Maria tunak. Wajah yang segar bugar dan sering
didandan rapi suatu ketika dahulu kini pucat lesi. Tulang pipi menonjol. Mata yang galak juga telah
cengkung. Redup pandangan mengundang simpati.
"Mama tak kisah?"Mak Ungku tersentak. Dikertap bibirnya, menahan sebak dihati. Seketika dia
menggeleng.
"Ma buat apa saja untuk Maria.....asal Maria bahagia...."
Bahagia? Apa erti bahagia bagiku? Maria memejamkan matanya. Padanya bahagia miliknya kini
hampir pergi. Bahagia itu telah jauh. Ini saja yang mampu dia lakukan untuk merebut kembali bahagia
itu. Walau mungkin bukan untuknya. Biarlah dia berkorban!
***************************************
Langkah kakinya terhenti. Dipandangnya wajah wanita yang tercegat dihadapannya. Ada riak
kesedihan.
"Ri!"Gadis itu meluru ke arahnya. Wari tidak mampu bergerak. Terasa tubuhnya hangat dalam
dakapan.
"Rina, buat apa you kat sini?"Wari melonggarkan pelukan. "Mana you tahu I ada kat sini?"
Ditariknya tangan Rina ke satu sudut. Tidak mahu mata-mata memandang ke arah mereka. Hari
pertama dia masuk ke pejabat, Rina sudah muncul di hadapannya.
"I call rumah....someone inform you masuk ofis hari ni....bila you start kerja...kenapa tak
bagitahu I?"Rina goncang tangan Wari. Wari tarik nafas panjang.
"Rina..please...this is my first day okay....I sibuk...I nak pergi meeting ni..."Wari melepaskan
tangannya. Mata Rina yang merah berair di pandangnya. Mabuk lagi ke perempuan ni?
"Ri...jangan tinggalkan I please....Fadzli...Fadzli dan Remy dah tak ada!"Air matanya berlinang.
"What?"
"Diorang accident. Mati!"Rina teresak.
"Bila?"Dada Wari berdebar.
"Pagi semalam. Kitaorang konvoi ke Port Dickson..treler langgar diorang. It was so horrible Wari.
Depan mata I...."Rina mengesat matanya. Wari terpaku.
Sekelip mata nyawa melayang! Ya Allah..andainya itu nyawaku!
"Ri...."Rina menyebamkan muka di dada Wari. Terasa hangat dadanya dibasahi airmata. Wari
kertap bibir sampai sakit. Perlahan rambut Rina diusapnya.
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 15
Renungan mata lelaki itu tunak ke arah langit sana. Polos. Siti melabuhkan punggungnya di
sebelah. Sambil matanya sesekali dilemparkan di tengah padang. Didi dan Fifi terkinja-kinja sambil
tertawa riang. Sejuk hatinya melihat gelagat anak-anak itu. Dialihkan semula pandangan ke wajah lelaki
itu. Yang kosong.
"Apa yang awak pandang tu?"
"Langit"
"Cari apa?"
"Tuhan!"
"Issh...."Wari menunduk, menentang mata Siti. Dia tersenyum tawar.
"Jangan fikir dimana Dia....yang penting di sini....."Siti tekap dadanya. "Biar Dia sentiasa ada di
sini...."Siti tersenyum sama.
"Saya tahu....saya dah lama tak mengingati-Nya...."Keluhnya perlahan. Helaan nafasnya
kedengaran.
"Maksud awak?" Wari diam. Dia meregut helaian rumput lalu ditenyeh-tenyeh dengan hujung jari.
"Saya hanyut....."
Siti tarik nafas panjang. Dia tidak tahu apa yang perlu dikatakan. Untuk bertanya lebih lanjut,
takut Wari anggap dia suka mengambil tahu. Tapi untuk buat endah tak endah, kasihan pula dia pada
lelaki itu. Wajahnya muram benar. Sejak semalam, ada kekeruhan wajah itu. Apa yang hendak dia
luahkan?
"Siti tahu tak...."Dia bersuara semula. Siti toleh, menghadap lelaki itu. Mungkin ada sesuatu yang
hendak dikongsi olehnya.
"Saya jarang sembahyang...."Keluhnya. Wajah Siti dipandang tunak. Siti kehilangan kata. Dia
tergamam. Lelaki ini!
"Emm...err..kenapa?"Betulke soalan aku ni?
"Saya....lupa pada kewajipan-kewajipan yang patut saya buat....sebagai seorang Islam..."Dia
menggeleng. "Lepas arwah Papa meninggal, saya abaikan nasihatnya. Mama selalu tak sihat. Dia tak
dapat nak control kitaorang setiap masa." Siti angguk kepala. "Saya selalu keluar rumah. Malas
sembahyang... minum..." Dia menekup mukanya dengan tapak tangan. Siti tarik nafas panjang. Tidak
disangka lelaki didepannya itu punya sejarah harian yang memualkan. Siti sendiri benci dengan manusia
yang kaki minum. Yang suka berpeleseran antara lelaki dan perempuan. Anak orang kaya, banyak duit.
Beginilah caranya. Tapi.....dia tahu dia tidak boleh menghukum Wari atas perbuatannya itu. Sesuatu
yang aneh bagi seorang lelaki mengakui segala ketelanjurannya di depan seorang wanita. Calang-calang
manusia untuk melakukannya. Dan Wari pasti punya sebab tertentu membuka segala keaibannya itu.
"Tentu Siti tak sangka, kan?"Wari renung Siti dengan mata berkaca. Siti geleng kepala.
"Kenapa awak ceritakan semua ini pada saya?"Siti mengalih pandangan ke tengah padang. Hilai
tawa Didi dan Fifi kuat kedengaran.
"Saya tak tahu."Terhenti sebentar."Saya tak tahu kenapa saya luahkan semua ini pada awak. Saya
rasa awaklah orang yang paling sesuai untuk mendengarnya. Saya tahu, saya tak patut nyusahkan
awak untuk dengar ini semua.."Dia berpaling untuk bangun.
"Wari..saya tak kisah kalau awak nak berkongsi cerita dengan saya..."Siti turut bangun. Dia
berdiri betul-betul di depan Wari.
"Kalau awak ada masalah......"Siti terhenti. Dadanya mula berdebar.
"Saya sudi mendengarnya..." Wari menapak beberapa langkah ke depan. Dia menghela nafas
panjang. Kedua tangan diseluk ke kocek seluar. Dari arah belakang, Siti dapat melihat susuk sebenar
lelaki itu. Dia punya segalanya bagi seorang lelaki. Mungkin itu juga salah satu sebab yang membuatkan
dia lupa diri. Kecantikan yang dianugerah Tuhan, selalu disalahguna.
"Siti rasa, terampunkah dosa-dosa saya?"
"Kenapa tidak?"
"Sudah terlalu lama saya melakukannya..."
"Sebesar mana pun..selagi awak ikhlas dan nekad tidak mahu mengulanginya.....insyaAllah...
bukankah Allah Maha Pemurah?"Siti berganjak ke depan.
"Tapi, saya rasa diri saya ini terlalu kotor....."Wari mengeluh.
"Jadi, bersihkan ia. Banyak caranya. Yang penting niat dan azam awak harus kuat..."
"Apa yang harus saya buat?"
"Jangan ulangi perbuatan kotor awak tu. Tinggalkan semuanya. Semua itu bukannya memberi
manfaat pada diri awak. Malah merosakkan...."Wari renung wajah Siti lama.
"Sekarang ni apa anggapan Siti pada saya?"
"Biasa saja..."
"Maksud Siti ?"
"Saya tak berhak menghukum apa-apa. Malah saya berterima kasih sebab awak sudi berkongsi
cerita dengan saya. Untuk menjadi seorang yang jujur seperti ini bukannya mudah. Ia juga memerlukan
niat dan azam yang kuat bukan?" Wari tersenyum lebar. Wajah Siti ditatap sepenuh hati. Terasa dada
dan fikirannya menjadi lapang kini.
**************************************************************
Ternyata Wari benar-benar berazam untuk mengubah dirinya. Siti mula sedari itu. Kerana hampir
setiap malam, dia melihat Wari tidak pernah keluar rumah lagi. Pulang dari pejabat, dia membersihkan
diri. Makan malam bersama Didi dan Fifi. Selepas itu menonton tv. Kadang-kadang, dia menghabiskan
masanya di bilik bacaan. Mungkin banyak urusan pejabat yang perlu dibereskannya. Siti sedikit gembira
dengan perubahan itu. Walau dia sendiri tidak tahu apa yang mendorong lelaki itu berubah haluan,
tetapi dia tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya Wari sudah boleh menjadi orang harapan
sekarang. Mak Ungku ternyata amat gembira dengan perubahan anak bujangnya itu. Wari yang dulu
keras kepala, kini sudah mula berminat untuk bekerja. Kalau dulu setiap malam pulangnya jam 3-4
pagi, kini dia sentiasa ada di sisinya. Tidak perlu lagi Siti atau Kartini terkial-kial memimpin orang tua itu
menuruni tangga, kerana tenaga Wari sudah cukup untuk menampung mamanya itu.
"Abang Acik dah lain la sekarang...."Lisa bersuara suatu hari sewaktu menolongnya
menghidangkan makan malam."Dah berubah sangat..."
"Kan bagus macam tu....Lisa pun suka, kan?" Balas Siti.
"Tapi pelik....tiba-tiba je....mesti Acik dah putus ngan Rina...."Gumam Lisa perlahan. Siti hanya
diam. Dia sendiri tidak berapa tahu tentang hubungan Wari dan Rina. Sejak pertengkaran di rumah
suatu masa dulu, Rina tidak pernah singgah di rumah itu lagi. Samada mereka benar-benar putus atau
sebaliknya, Siti tidak pernah tahu. Wari juga seperti tidak mahu menyentuh perkara tersebut. Banyak
perkara yang Siti ketahui adalah dari mulut Lisa. Lisa yang tidak berapa gemarkan Rina. Ternyata gadis
itu cukup gembira kalau benar abangnya tidak menjalin hubungan lagi dengan Rina.
"Kenapa tak suka Rina?"Siti cuba mengorek suatu hari.
"Emm....Rina tu, tak friendly sangat la kak Siti. Kalau jumpa Lisa kat bandar memang dia tak
tegur...."Lisa memuncungkan mulut.
"Iye?...Kot-kot dia tak nampak Lisa tak?"
"Tak nampak apanye. Bersinggul bahu lagi. One more thing, dia suka lepak disko le Kak Siti..."
"Mana Lisa tahu?"
"Lisa ramai member kat saner....."
"Oo....Lisa pun selalu lepak sana le ya?"Lisa tersengih, tersipu-sipu.
"Takdelah selalu kak Siti. Sesekali jer...itupun dulu-dulu.."Siti menggeleng. Apa yang best sangat
disko tu pun, dia tak tahu. Wari juga sekarang ini agak rajin mengajaknya keluar. Kadang-kadang
dengan Lisa. Kadang-kadang dengan Didi dan Fifi. Kalau tak ke taman permainan, mereka akan pergi ke
kompleks-kompleks membeli belah. Ada jugalah sehelai dua pakaian yang Siti beli hasil dari duit yang
diberi oleh Mak Ungku tempohari. Separuh telah dikirimkan ke kampung, separuh di serahkan kepada
Melah untuk disimpan. Siti hanya simpan sedikit saja untuk kegunaan harian. Dia masih ingat lagi katakata
Mak Ungku sewaktu menyerahkan sampul berisi wang gajinya itu.
"Siti, kalau Mak Ungku minta Siti terus kerja di sini untuk sebulan dua ni, macamana?"Siti
tergamam seketika. Wajah Mak Ungku yang jernih itu ditatap lama. "Sambung kerja?"Mak Ungku
mengangguk.
"Emm....kak Maria tak kisah ke?"
"Maria yang mahu Siti terus di sini. Dia belum sihat sepenuhnya, Siti. Makcik pun risau dengan
kesihatannya itu. Sebab tu makcik suruh dia duduk di sini dulu. Tak payah balik ke rumahnya di Bangi
tu.."Mak Ungku mengeluh.
"Emmm....saya...saya kena tanya dengan emak dulu, Mak Ungku. Sebab hari tu janji dengan
mak, sebulan aje..."Siti gigit bibir.
'Kalau macam tu, baguslah.....minta izin dengan orang tua dulu. Makcik tak paksa...."
Dan akhirnya Siti keluarkan kembali pakaian-pakaiannya yang telah siap dikemas tempohari.
Nampaknya dia terpaksa bersetuju untuk terus menetap di situ. Dia tidak sampai hati hendak
menghampakan permintaan Mak Ungku. Selebihnya dia simpati pada Maria. Dia tahu Maria masih belum
sembuh sepenuhnya. Pembedahan itu nampaknya tidak sepenuhnya berjaya. Itu yang diberitahu Wari
kepadanya tempohari. Ahh..Wari....Hati Siti berdebar setiap kali membayangkan lelaki itu. Lelaki yang
berbeza kini. Lelaki yang renungannya begitu berlainan sekali. Seakan ingin menerobos ke seluruh
jantungnya. Dan Siti akui hatinya bukannya kuat sangat untuk menahan perasaan tersebut. Hatinya
belum cukup tega.
"Siti..."Wari menghampirinya suatu hari. Siti tergamam seketika. Wari yang segak berbaju
melayu, sedang berdiri betul-betul di hadapannya. "Wari nak makan ker?"Siti cepat-cepat mencapai
pinggan di rak. "Nak....tapi dengan Siti..."Balas lelaki itu lembut. "Emm....Siti makan kejap lagi. Tunggu
Didi dan Fifi sekali..."Suara Siti bergetar. Dia cuba mengawal perasaan. Kenapa gemuruh semacam?
"Tak....Wari nak ajak Siti makan .....kat luar.."Wari tersenyum. Siti pandang Wari, cuba mengesan riak
wajah lelaki itu.
"Dengan Lisa sekali?"
"Tak.....dengan Siti. Lisa makan dengan budak-budak tu nanti.."
"Tapi...."
"Saya dah bagitahu Lisa. Janganlah risau sangat...."Wari ketawa kecil.
"Lisa volunteer nak jaga budak-budak tu...."
Siti tarik nafas panjang. Ni mesti Lisa dah berpakat dengan abangnya. Lisa memang beriya-iya
mencadangkan agar dia keluar dengan abangnya itu. Memang Lisa suka melaga-lagakan dia dengan
Wari. Kadang-kadang Siti jadi malu dengan usikan Lisa yang melulu itu. Walau di depan Wari. Tapi Wari
tidak pula menunjukkan tanda-tanda marah. Malah, senyuman lelaki benar-benar menggetarkan jiwa.
Kenapa lelaki itu berubah tiba-tiba. Mana keegoan dan kesombongan dia dulu. Adakah kerana
perwatakannya yang telah berubah kini, telah menghasilkan satu suasana yang berlainan? Sesuatu yang
indah mungkin?
Untuk pertama kalinya, malam itu Siti memberanikan diri keluar berdua dengan lelaki itu. Itupun
setelah Wari beriya-iya mengatakan telah memaklumkan kepada Mak Ungku. Dan berjanji untuk pulang
sebelum jam sebelas. Hanya makan-makan, begitu kata Wari waktu dia masuk ke dalam kereta. Lisa di
muka pintu mengenyitkan mata. Suka benar gadis itu. Dan Siti, hanya mendiamkan diri, selain
memikirkan bagaimana keadaan dia malam itu. Solekan nipis di wajahnya hasil tangan Lisa, adakah
berlebihan? Blouse dan skirt kembangnya adakah berpadanan? Ahh...segala-galanya diluar kawalan. Dia
seperti menjadi dirinya yang lain. Dia seperti sengaja membohongi hatinya. Melarikan diri dari seorang
lelaki untuk menerima seorang lelaki. Kenapalah aku ni lemah sangat! Siti menghela nafas.
"Kenapa Siti?"Wari menoleh sekilas."Kenapa mengeluh? Penat ye?"
"Eh, taklah...."Balas Siti perlahan. Dia mengangkat muka, memandang polos ke hadapan.
"Kita pergi kat depan ni je. Tak payah jauh-jauh. Sini pun makanannya sedap-sedap...."Wari
bersuara disulami ketawa kecil. Dalam hati dia berasa senang sekali. Penerimaan Siti malam itu bagai
membuka ruang baru dalam hidupnya.
"Kalau makan ramai-ramai seronok juga.."Siti bersuara.
"Makan ramai-ramai dah selalu. Kali ni Wari nak kita berdua je..."Ishh....Siti jadi takut mendengar
perkataan tersebut. Dia gigit bibir kuat-kuat. Cuba meredakan debar di dadanya. Janganlah dia nak
beromantis pulak dengan aku....
Wari memperlahankan keretanya sebelum berhenti betul-betul di depan sebuah tasik. Siti keluar,
dan merasakan kedinginan malam itu. Bintang di langit bertaburan, tetapi angin malam seolah-olah
membawa petanda hujan. Dia mengekori langkah Wari yang bersahaja. Agaknya Wari sudah selalu
berkunjung ke sini. Kalau bukan dengan Lisa, pasti dengan Rina. Tiba-tiba Siti terbayangkan Rina.
Bagaimana hubungan mereka berdua. Kenapa Wari mengajaknya keluar tidak Rina. Sudah putuskah
mereka?
"Kita duduk sini je lah..."Suara Wari kedengaran. Siti tarik kerusi lalu melabuhkan punggung.
"Siti nak makan apa?"Tanya Wari sebaik pelayan lelaki berbaju batik datang kepada mereka.
"Apa-apa saja..."Wari angkat kening. Dia tersengih. Gabra semacam je Siti ni......dia takut dengan
aku ke?
"Saya order, jangan Siti tak makan pulak...."Siti senyum sama. Silap-silap aku minum aje. Malu
punya pasal!
Terasa bagai tak lalu makan dibuatnya. Biasanya waktu makan begini, ada Didi dan Fifi yang
memeriahkan suasana. Kadang-kadang ada Lisa kalau dia tidak ke mana-mana. Kali ini hanya mereka
berdua. Dalam suasana, yang Siti tidak pernah membayangkan. Kalau dulu, Wari selalu memberi alasan
yang bukan-bukan bila mengajaknya keluar, kali ini nampaknya dia berterus terang. Seolah ada
keyakinan pada diri lelaki itu akhir-akhir ini. Tutur katanya lembut, dan riak wajah ada ketenangan kini
berbanding sewaktu awal pertemuan mereka. Siti dapat rasakan perbezaan itu.
"Banyak perkara yang saya nak tahu pasal Siti sebenarnya...."Wari bersuara.
"Emm?"Siti angkat kening.
"Kampung Siti di mana?"
"Emmm..."Siti telan liur. "Kat Kota Tinggi.."
"Kota Tinggi tu kat Johor, kan?"Siti angguk.
"Mak ayah Siti?"
"Ada lagi."
"Mak ayah kerja apa?"
"Bapak noreh getah je. Mak tak kerja."Balas Siti jujur. Minuman yang dipesan sampai. Siti
menyedutnya seketika.
"Saya pernah ke Johor, Desaru Resort. Masa tu saya konvoi ke sana ramai-ramai masa hari
merdeka..."
"Oh....itu dah dekat sangat dengan rumah saya tu..."Siti tersenyum ceria.
"Dekat sangat?"
"Emmm..kalau ke Desaru, lalu kawasan kampung saya dulu...."
"Kalau gitu, boleh saya singgah rumah Siti..."Siti ketawa.
"Boleh....kalau awak datang Johor, jemputlah ke rumah saya..."Balas Siti lancar.
"Emm...minggu depan?"
"Ha?"Siti angkat muka. Wajah Wari dipandang lama. Biar betul mamat nih! Aku cakap main-main
je. Dia serius ke?
"Kenapa, tak boleh ke?" Dia ketawa kecil.
"Eh, awak ni, jangan main-main la...."Siti tarik muka.
"Takkan tak boleh saya nak datang rumah awak. Saya pun nak merasa kehidupan di kampung
sana..."
"Nak menoreh?"'Siti tergelak sama. Debarnya sudah menghilang. Dia rasa semakin selesa berbual
dengan lelaki itu. Ternyata Siti, benar-benar berlainan dengan Rina. Wari dapat merasakannya. Dia tidak
berasa terdesak, atau rungsing. Berbanding dengan Rina yang selalu membentak dan sedikit mendesak.
Yang gemarkan liburan. Yang tidak pernah memikirkan realiti kehidupan selain dari keseronokan
semata-mata. Sesuatu yang hilang dulu terasa terisi kembali. Hatinya yang kering, kini basah disirami.
"Emm...itu gelang yang saya bagi hari tu ke?"Mata Wari tertancap pada pergelangan tangan Siti
yang bersinar. Siti cepat-cepat tarik tangannya. Dia tersipu. Ahh...kenapa lupa nak tanggalkan?
"Semalam keluar lupa nak tanggalkan..."
"Kenapa nak tanggalkan pulak. Biarlah ia kekal di situ...kalau boleh sampai bila-bila..."Siti hampir
tersedak mendengarnya. Dia memalingkan wajah. Tak sanggup dia menentang renungan lelaki.
ssh....lain benar bunyinya. Hati Siti berdebar-debar.
"Emm....yang warna hijau tu, mesti Mak Siti yang bagi?"Wari menunjuk ke arah seutas lagi gelang
yang melingkar di pergelangan tangan Siti. Siti menggeleng.
"Yang ni...."Dia teragak-agak. "Emm...Hadi yang beri hari tu....sebelum balik ke sini..."
Wari tarik nafas panjang. Tiba-tiba dia rasa menyesal mengemukakan pertanyaan itu .
Ahh...hati... bertenanglah. Kenapa perlu gugup, kenapa perlu berdebar. Wari cuba meredakan
perasaannya yang sudah mula tidak menentu.
"Siti suka pada Hadi, tu?"Wari tidak teragak-agaknya bertanya. Dia ingin tahu hati gadis ini yang
sebenar.
"Eh, tak lah...."Siti sedikit terkejut. Sekali berjumpa, takkan terus suka! "Emm.....tapi..dia tu baik
orangnya. Dengarnya....dah nak bertunang.."
"Iyer?"Wari agak terkejut. Dalam hatinya sedikit riang, tetapi dia cuba mengawal agar tidak
ketara kelihatan. Rasanya dia ingin tertawa sepuas hati mendengar perkhabaran itu. Siti perasan
perubahan wajah Wari bila mendengar katanya itu. Dia sedikit lega, walaupun dalam hati rasa bersalah
juga kerana membohongi lelaki itu. Dia tidak pernah tahu samada Hadi sudah berpunya atau
sebaliknya. Apatah lagi ingin bertunang. Dia cuma ingat kata-kata Hadi sebelum dia bertolak pulang
dahulu. Lelaki muda itu ternyata ingin menjalin hubungan yang lebih istimewa dengannya. Bukan
sekadar kenalan singkat. Semua itu dinyatakan di dalam surat yang dilampirkan bersama gelang hijau
tersebut. Kalaulah Siti tahu maksud sebenar yang tersirat di hati Hadi, sumpah dia tak akan mengambil
pemberian tersebut. Dia takut Hadi salah sangka.
Dan kini, berhadapan dengan Wari, sesuatu yang sukar juga. Dia tidak ingin Wari anggap dia
punya apa-apa hubungan dengan Hadi. Dia seperti dapat rasakan perasaan Wari yang berbunga
terhadapnya. Dan perasaannya juga!
**********************************
"Betul ker kau nak ke Johor, Wari?"Mak Ungku kerut dahi memandang Wari yang kelihatan ceria
petang itu.
"Boleh tak Ma?"Wari duduk di sebelah, memaut bahu Mak Ungku. "Nak buat apa?"
"Emm..saja. Nak rasa hidup di kampung. Siti kata sekarang ni musim durian."Mak Ungku
menggeleng. Hatinya sedikit berat melepaskan Wari.
"Lagipun, Wari bukan pergi sorang. Lisa pun ikut sama. Minggu depan kan cuti sekolah."Wari
memicit-micit bahu Mamanya.
"Lisa tu cuti. Tapi Wari kan kena ke pejabat. Siapa nak uruskan pejabat nanti?"
"Ala.....itu Ma jangan risau. Kat sana ramai pembantu Wari. Sebelum ni pun mereka yang
uruskan. Lagipun, Wari dah bagitahu Azimin......"Wari bangun, membetulkan seluarnya.
"Nanti apa kata keluarga Siti, Wari? Kau tak segan ke.."
"Ish...Ma ni....kan saya pergi dengan Lisa. Lagipun bukannya lama sangat...2-3 hari je..."Wari
membelek-belek wajahnya dicermin. Senyum tak putus-putus terukir di dua bibirnya. Sekejap-kejap dia
melihat jam tangannya.
"Ni bersiap-siap nak ke mana. Baru balik...dah nak keluar?"Mak Ungku tarik nafas panjang
melihat gelagat anak bujangnya itu. Perubahannya ketara benar. Dari liar, dia menjadi sopan. Dari
pemarah, menjadi girang begitu. Sedikit sebanyak dia berasa gembira dengan perubahan itu. Tapi
kadang kala, dia curiga juga.
"Saya nak keluar ni......nak gi tengok wayang!"
"Dengan Rina?"Wari tersengih.
"Tak, dengan Siti!"
Mak Ungku beristighfar dalam hati. Dia menghela nafas panjang. Ternyata apa yang dia takutkan
selama ini telah terjadi. Wari, Siti itu bukan untukmu!
**********************************
Genggaman tangan mereka terlerai. Siti tersenyum malu. Dia tidak tahu kenapa dia membiarkan
Wari menyentuh tangannya. Kalau boleh dia tidak mahu semua itu berlaku. Dia berlari-lari anak.
Meninggalkan Wari di gigi pantai. Terasa berat kakinya di selaputi debu-debu pantai yang halus.
Seketika dia menghela nafas. Angin yang bertiup menyegarkan badan. Pandangannya dilemparkan.
Memerhatikan susuk Wari yang membongkok, mengutip kerikil-kerikil tajam. Bila Wari menoleh ke
arahnya, Siti melambai tangan.
Ahh...terlalu jauh aku dibawa keadaan. Tapi perasaan ini....bukan boleh disisihkan!
"Nak balik ker?"Wari mencungap bila sampai di depan Siti.
"Jom!"Siti membetulkan tudungnya.
"Cepat sangat la.."Muncung.
"Kata nak cari durian? Lisa dah lama tunggu kat rumah tu. Nanti dia merajuk."Siti tarik muka.
Mesti Lisa marah sebab tak ajak dia ke Desaru petang itu. Tapi Wari yang berkeras tidak mahu
membawa Lisa sama. Tak ada privacy, katanya.
"Esok kita pergi lagi...?"
"Esok kita dah balik KL...jangan perasan...."Siti ketawa kecil.
"Lain kali, saya nak datang sini lagi...."Wari mempercepatkan langkah, menyaingi Siti.
"Awak kawin le dengan orang Johor....tiap-tiap minggu boleh balik.."
"Dengan Siti?"Siti terdiam. Dia mengerling ke wajah Wari.
"Tak nak la..."Siti juih bibir.
"Ohh....lupa..Siti tak nak sebab...nak tunggu siapa tu...Zair...Huzair?"
"Wari!"Sepantas kilat jemari Siti sudah mengutil lengan Wari. Wari mengeliat kesakitan.
"Kan saya dah cakap jangan ungkit lagi cerita tu. Kalau saya tahu macam ni, tak nak saya cerita
kat awak!"Siti melajukan langkah. Dia terdengar derai ketawa Wari di belakang.
"Okay..okay..."Wari memaut lengan Siti. Siti membalikkan badan. Wajah mereka bertentangan."
Saya tak ungkit lagi....tapi ada syaratnya..."
"Apa syaratnya?"
"Jadi milik saya!"
Siti tersenyum. Dia tidak mahu menjawabnya, Biarlah hati saja yang berkata 'ya'
***********************************
Azimin resah di bangku. Melihat Maria yang masih lena di perbaringan. Pemandangan yang biasa
waktu petang-petang begini. Dia melonggarkan tali lehernya. Nafasnya yang turun naik dibiarkan reda
seketika. Perasaannya menjadi hampa. Bukan dia tidak pernah berasa begitu. Tapi kali ini lebih-lebih
lagi. Malah, mengetahui kepulangan Siti ke kampung bersama Wari sebentar tadi, seakan meruntun
segenap perasaannya. Apalah yang Wari buat di sana? Kerja di pejabat ditinggalkan, semuanya
dibiarkan orang lain yang uruskan. Azimin berasa sebal dengan perangai Wari sejak akhir-akhir ini.
Dia turun ke dapur sebentar untuk mengambil minuman. Seketika pandangannya bertembung
dengan kelibat Kartini yang muncul dari bilik air. Kartini tersenyum penuh makna sebelum masuk ke
bilik belakang. Azimin menggeleng. Butang kemeja mula dibuka satu persatu. Perlahan-lahan dia
menyusup masuk ke bilik yang sama.
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 16
Hari-hari yang dilalui semakin bermakna bagi Siti. Dia dapat merasakan semangatnya yang
berkobar-kobar tiap kali memulakan harinya. Perasaannya berkembang, sesuatu yang tidak pernah dia
rasakan sebelum ini. Amat berlainan. Dia ingin tersenyum setiap masa. Malah adakalanya dia tertawa
sendirian. Mengenangkan percutiannya tempohari di kampung. Sesuatu yang lucu untuk diingat kini.
Wajah Wari kini sentiasa di ruang matanya. Entah kenapa. Perasaan halus yang menusuk-nusuk
dalam hatinya kini semakin bercambah. Kalau dulu, dia sering tertanya-tanya rasa apakah yang selalu
bermain dalam hatinya itu. Kini dia mula menyedari. Rasa yang hadir, adalah rasa ingin memiliki dan
dimiliki. Dimiliki seseorang. Dan disayangi. Seperti yang Huzair selalu sebut-sebutkan dulu. Dan kini, dia
telah faham keinginan itu.
Wari, lelaki yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk terus bertapak dalam hati. Terlalu
cepat dirasakan. Dia telah tewas dengan perasaannya sendiri. Walau dia seboleh-bolehnya tidak mahu
perasaan itu terus wujud dalam dirinya. Tapi Wari telah memulakan segalanya. Wari telah menyuburkan
rasa di segenap ruang hatinya. Ahh....kalaulah orang tahu! Kalaulah Kak Melah tahu. Kalaulah Mak
Ungku tahu. Alangkah tak patutnya dia menyimpan perasaan sedemikian! Alangkah tidak
bertimbangrasanya dia. Alangkah tidak amanahnya! Hadirnya dia di sini adalah untuk mencari sesuap
nasi. Bukan untuk mencari cinta. Bukan untuk menjalin hubungan terlarang dengan sesiapa.
Siti cuba buangkan perasaannya jauh-jauh walaupun dia rasakan perasaan itu semakin
berkembang dalam dirinya. Setiap kali memandang lelaki itu, getar-getar dadanya semakin membuak.
Seakan ingin dia dampingi lelaki itu setiap masa. Seakan ingin dia sentiasa di depan mata. Ahh....
indahnya perasaan ini! Tidak pernah dia merasakannya. Bagaimana untuk dia sengaja membiarkan ia
terbuang begitu saja. Sedangkan ia terlalu indah!
Jadi milik saya! Siti tersenyum lagi. Bagai terngiang-ngiang perkataan itu dipendengarannya.
Walaupun dia tidak pernah berkata 'ya', tapi senyum dan riak wajahnya sudah menggambarkan
segalanya. Cukuplah hanya itu. Cukuplah hanya itu jawapan darinya. Dia pasti Wari telah tahu
segalanya. Tidak perlulah ungkapan cinta dari dua bibirnya. Cukuplah hanya hati masing-masing yang
mengerti antaranya. Siti pasti Wari tahu apa yang bergejolak dalam hatinya. Wari tahu apa yang dia
rasa. Dan begitu juga dia. Dia tahu apa yang Wari rasa. Apa yang bergejolak dalam hatinya.
Tuhan, andai ini nikmat dari-Mu. Restuilah ia!
*********************************
Lenggok gadis itu tertangkap oleh matanya. Masih seperti dulu. Begitu lembut dan mempesona
kan. Suatu masa dulu lenggang lenggok itulah yang telah menghanyutkan dirinya. Lemas dalam
menikmati keindahan ciptaan Tuhan itu. Kalaulah tidak kerana dia sedar awal. Pastinya nasibnya
masih seperti dulu. Terus hanyut, terus lemas. Wari menggeleng. Dia memerhatikan langkah gadis itu
yang semakin mendekat. Pandangan mereka bertembung.
"Lama tunggu?"Suara halus itu kedengaran. Wari menggeleng, membetulkan duduknya.
"You nampak lain..."Rina merenung Wari lama. Wari hanya tersengih.
"I biasa je..."Wari mengalih pandangan. Malas dia hendak bertentang mata dengan perempuan
itu. Tujuannya hari itu hanya satu. Memberi kata putus. Dia tidak mahu Rina terus mencarinya.
"I ada hal nak cakap dengan you..."
"Kalau ya pun...tunggulah I order minum dulu. You tak nak makan ke?"
Rina mengangkat tangannya pada waitress.
"Tak. I dah makan...."Balas Wari malas. Dia menunggu Rina selesai memberi pesanan.
"Tunggu I makan, okay. I lapar!"Rina ketawa kecil. Matanya galak bersinar, merenung Wari.
"I tak boleh lama, Rina.."
"You sengaja nak lari dari I...susah nak jumpa you sekarang. Hari ni, angin apa tiba-tiba ajak I
keluar?" Rina bersandar penuh gaya. Wari tarik nafas panjang.
"I nak ini pertemuan kita yang terakhir..."
"Maksud you?"
"Kita dah tak sama haluan, Rina. You lain, I lain....masa dah berubah..."Rina ketawa sinis.
Bibirnya menjuih.
"You nak jadi pak lebai, ke Wari?"Tawanya kedengaran. "Patutlah sekarang ni I tak pernah lagi
nampak you kat tempat kita. Member-member semua tanya pasal you, Wari!"
Wari menggeleng. Dia menentang mata Rina. Rasanya perasaannya dia terhadap gadis itu telah
terhapus sama sekali. Dan dirasakan selama ini dia tidak pernah mencintai gadis itu. Mungkin apa yang
dia rasa selama ini hanyalah keseronokan semata-mata.
"Rina, dua orang kawan kita dah meninggal, Rina. You tak rasa insaf ke?"Suara Wari lembut, cuba
memujuk gadis itu.
"Diorang tu accident. Tak ada siapa sangka..."Balas Rina.
"Hari tu, you jugak yang sedih sangat..."
"Sebab I terkejut. "Rina muncung. "Memang I sedih....tapi yang pergi tetap pergi. Kita yang
hidup...teruskan hidup..."
"Tapi bukan dengan cara yang sama.."Rina mengeluh. Dia menggeleng.
"I suka dengan life I sekarang ni.."
"Nyawa kita ni bila-bila masa je boleh melayang , Rina..."
"Sudahlah Wari....you jumpa I ni nak suruh I jadi macam you ker? You nak berubah, you berubah
sorang-sorang. I belum lagi..."Rina menarik gelas minuman yang baru diletak waitress. Dia
menyedutnya lama.
"I nak you jangan buat lagi benda-benda yang kita enjoy kan dulu...semua tu maksiat, ina..."Rina
tarik muka, malas hendak mendengar. Wajahnya dipaling ke arah lain. Hasratnya untuk melepaskan
rindu pada lelaki itu, hancur berkecai. Kali ini Wari benar-benar lain. Betul apa yang dikatakan kawankawan
mereka. Wari sudah berubah. Sudah jadi orang berkerjaya. Gaya, pemikiran semua sudah
berubah. Dan kini dia cuba mengubah dirinya pula. Mana boleh dia tinggalkan semua itu dalam sekelip
mata. Gila!
"I lakukan ini kerana I anggap you sebagai kawan baik I..." Rina mendengus.
"Hanya kawan?"Suaranya meninggi. "You dah usung I sana sini, sekarang you anggap I hanya
kawan?"
"Rina...I rasa apa yang kita lakukan selama ini adalah satu kesilapan. Kita hanya inginkan
keseronokan....kita tidak pernah serius dalam hubungan ini, bukan?"Wari memandang tepat wajah Rina
yang mencuka. Hilang kemanisan wajah itu.
"I serius...."
"Tidak....kalau you serius, you takkan keluar dengan lelaki-lelaki lain...."
"Tapi diorang tu semua member-member kita!"Suara Rina meninggi. Satu sikap Rina yang paling
Wari tidak gemari. Suka membentak.
"Itu sebab I tak rasa you serius dengan satu-satu perhubungan. Bagi you semua hubungan sama
saja. Asal dapat keseronokan..."
"You menghina I?"
"Tidak Rina....I nak kembali pada diri I seperti dulu-dulu....sebelum I kenal you....."Wari bersuara
perlahan.
"You nak tinggalkan I?"Rina tarik jemari Wari.
"I tak tinggalkan you. Kita tetap kawan. Tapi cara kita dah berbeza. Kita tak boleh jadi macam
dulu lagi....."Rina menggeleng. Wajahnya memerah.
"Tapi....I sayangkan you Wari.....I nak kita macam dulu......"Jemari Wari dikucupnya. Wari
mengeluh. Dia menarik kembali tangannya. Mengeluarkan not RM20, lalu disisipkan di tepi gelas.
"I tak dapat tunggu you makan. I kena balik ofis..."Wari bersedia untuk bangun. Sepantas kilat
Rina menarik kembali tangan Wari. Wari merenung Rina tajam.
"I akan tetap cari you ....."Rina tersenyum nipis.
"Jangan Rina. Antara kita dah tak ada apa-apa. Biar I hidup dengan cara I. Dan....jangan cari I
lagi.."Wari merengus. Dia berpaling kasar, meninggalkan Rina terkebil-kebil sendirian.
*******************************
"Kak Siti!"Lisa terjengol tengah pintu. Siti bangun dari katil serta merta. Dia baru bercadang
untuk tidur sebentar petang itu. "Kenapa Lisa?"Siti menghampiri Lisa yang berbungkus kepalanya
dengan tuala. Baru dicuci mungkin. Haruman syamfoo menerpa ke deria bau.
"Kak Mar panggil Kak Siti"
"Ha? Ada apa?"Dada Siti mula berdebar. Lisa menggeleng.
"Tak tahu. Pergilah naik atas. Kak Mar tunggu kat bilik dia..."Lisa berpaling lalu beredar. Siti tahu
Lisa perlu hadiri kelas tuisyen petang itu. Sebab itu dia tampak kelam kabut saja.
Siti terpacak seketika depan pintu. Dia tarik nafas panjang. Dadanya semakin berdebar. Tak
pernah-pernah Maria memanggilnya tergesa-gesa begitu. Apa yang tak kena? Apa yang telah dia buat?
Didi dan Fifi mengadu pasal aku ke? Siti rasa takut tiba-tiba. Dia bergegas menukar pakaian.
Menggantikannya dengan baju kurung biasa. Mungkin Maria tahu dia selalu keluar sejak akhir-akhir ini.
Mungkin Maria rasakan anak-anaknya terabai. Ahh....aku juga yang ikutkan sangat ajakan Wari tu!
Siti menapak ke tingkat atas. Suasana petang yang sunyi itu menambahkan kekalutan hatinya.
Petang-petang begini, kalau tak menonton tv, Siti lebih suka melelapkan mata. Kerana Mak Ungku dan
Maria juga lebih suka memerap di bilik mereka. Hendak harapkan Kartini untuk diajak berbual kosong,
jangan diharap. Sejak akhir-akhir ini semakin bergaya nampaknya wanita seberang itu. Solekannya juga
agak berlebihan. Siti perasan juga, tapi dia tidak berani bertanya lebih-lebih. Siti mengetuk pintu
beberapa kali. Tanpa menunggu jawapan dari dalam, Siti memulas tombol. Suasana bilik tersebut agak
suram kerana langsir tebal menutupi keseluruhan tingkap. Bau ubat-ubatan mula menyengat hidung.
Siti sudah terbiasa dengan keadaan itu. Dia melihat Maria bersandar di kerusi empuk. Dengan buku
tebal ditangan. Senyuman terukir di bibirnya yang lesu. Tiada riak kemarahan pada wajah itu. Siti
sedikit lega.
"Kak Mar panggil saya?"Siti bersuara perlahan. Maria mengangguk. Buku tebal diletak atas meja
kecil sebelah katil.
"Mari duduk dekat Kak Mar...."Suaranya perlahan, seakan berbisik saja kedengarannya. Siti
menapak ke depan. Duduk di birai katil, menghadap Maria. Dalam hatinya berdebar juga. Entah apa
yang hendak disampaikan Maria sebentar nanti.
"Emm.....macamana kerja kat sini, ok tak?"Maria memulakan bicara. Siti sedikit terkejut dengan
pertanyaan itu. Sudah hampir tiga bulan dia bekerja di situ. Baru hari ini Maria bertanyakan
perasaannya.
"Ok saja, Kak Mar..."Balas Siti pendek.
"Betul?"Siti angguk.
"Kak Mar minta sambung keja 2-3 bulan lagi, Siti tak kisah?"
"Tak kisah, Kak Mar. Mak izinkan.."Maria tersenyum. "Siti sayang pada Didi dan Fifi?" Siti kerut
dahi. Wajah Maria ditatap lama. Dia memang sayang pada Didi dan Fifi. Anak-anak kecil itu amat
akrab dengannya. Setiap hari mereka menghabiskan masa bersama. Dengan anak saudara sendiri pun
Siti tidak pernah rapat selama itu.
"Saya memang sayangkan mereka, Kak Mar. Dah lama saya dengan diorang.....kalau saya
berhenti nanti, mesti saya rindukan mereka...."
Maria bangun tiba-tiba. Dia menapak ke tingkap. Menarik kain langsir, menjadikan suasana bilik
itu bertukar wajah. Jadi terang sedikit. Dia bersandar di tepi tingkap sambil badannya menghadap ke
arah Siti. Memandang Siti dengan pandangan yang tidak dapat ditafsirkan Siti.
"Kalau Siti terus menjaga Didi dan Fifi sampai bila-bila, mahukah Siti?"Maria bersuara satu-satu.
"Sampai bila-bila?"Siti bangun. "Maksud Kak Mar?" Maria menghampiri Siti.
"Kak Mar mahu saya terus bekerja di sini?"Siti sedikit gusar. Dia mengalih pandangan.
"Bukanlah macam tu...."Maria tersenyum lalu memaut bahu Siti. Mengajak dia duduk kembali di
birai katil. Maria menggenggam tangan Siti erat. Pelakuan Maria hari itu benar-benar membuat Siti
keliru.
"Siti tahu kan........keadaan Kak Mar ni, memang dah tak ada harapan lagi...."Maria mengeluh
lirih. Matanya mula berkaca.
"Kak Mar janganlah cakap macam tu. Kan Kak Mar makin sihat ni..."Siti membalas genggaman
tangan Maria. Maria tersenyum tawar.
"Akak dah tak ada harapan Siti. Penyakit akak ni dah tahap kronik. Walaupun dah berjaya
dibedah, tapi sel barah akak tak mati sepenuhnya. Bila-bila masa ia boleh menyerang semula. Akak
hanya tunggu masa!"Maria mengesat pelupuk matanya yang bergenang.
"Kak Mar..."Siti tarik nafas, menahan pilu di dada. Simpatinya membuak-buak. "Tak baik cakap
macam ni, Kak Mar. Kak Mar janganlah berputus asa...."
"Akak bukan berputus asa......cuma.....akak redha..kalau dah memang ajal akak...."
"Ajal dan maut di tangan Tuhan, kak...."
"Akak tahu.....tapi sebagai manusia....bukankah kita diberi petanda. Dan penyakit ini...sebagai
petanda..."
"Dah la kak....jangan cakap pasal ni...." Siti geleng kepala. Hatinya ikut sebak mendengar
rintihan wanita itu.
Maria menarik nafas panjang. Jemari Siti masih dalam genggaman. Dipegang erat bagai tak ingin
dilepaskan. Siti merenung wajah lesu itu. Matanya yang bengkak. Tulang pipi menonjol, sudah cukup
menggambarkan betapa menderitanya dia menanggung sakitnya itu. Siti tidak dapat bayangkan andai
dia berada di tempat itu.
"Apa yang akak risaukan selama ini, adalah Didi dan Fifi. "Dia terhenti sebentar, melemparkan
pandangan ke tingkap yang terdedah. "Mereka masih kecil dan masih perlukan kasih sayang dan belaian
seorang ibu. Sudah terlalu lama rasanya akak tidak mencurahkan semua itu...."
"Mereka faham akak tengah sakit..."
"Mereka terlalu kecil Siti. Akak tak sanggup nak tinggalkan mereka...."Maria mula teresak. Dia
menutup wajahnya dengan tapak tangan. Terhinggut-hinggut bahunya menahan tangisan. Siti menyeka
air matanya di hujung mata. Dia ikut sebak.
"Akak tak nak mereka hilang kasih sayang seorang ibu. Akak tak nak mereka hilang perhatian...."
Siti peluk bahu Maria, cuba menenangkannya.
"Akak tak nak mereka jatuh ke tangan orang lain, yang tak bertanggungjawab. Yang tak dapat
menjaga mereka dengan baik.." "Sudahlah kak....jangan pikir yang bukan-bukan. Akak akan tetap jaga
mereka...."
"Siti....."Maria mengalih pandangan. Menentang wajah Siti. Air matanya tak putus-putus mengalir.
"Mahukan Siti terus menjaga Didi dan Fifi?"Siti termangu. Lidahnya kelu tiba-tiba.
"Mahukah Siti?"
"Emmm....err..Siti akan jaga mereka...janganlah akak risau..."
"Walaupun selepas ketiadaan akak nanti?"Siti terdiam. Dia tidak tahu apa yang perlu dijawab.
"Mahukah Siti menjadi ibu kepada mereka?"Maria pegang kedua-dua bahu Siti.
"Maksud kak Mar?"
Maria melepaskan pegangan. Dia bingkas, lalu berjalan ke arah tingkap. Sekejap berpeluk tubuh.
Sekejap dia berjalan mundar mandir depan Siti. Siti berdebar-debar melihat sikap Maria yang berlainan
itu. Apa yang mengganggu fikirannya?
"Sudikah Siti menjaga mereka sebagai anak-anak Siti?"
"Saya tak faham Kak Mar..."
"Ganti tempat akak..."Maria terhenti, menelan liur. "Jadi ibu kepada mereka. Akak rasa Sitilah
orang yang paling sesuai untuk menggantikan tempat akak...."
"Gantikan tempat akak?"Siti jadi tidak sedap hati. Kenapa harus menggantikan tempat Maria.
Bukankah sekarang dia masih berkerja menjaga anak-anaknya. Bukankah itu sudah memadai.
"Harapan akak, agar Siti dapat terus berada di sini, bersama mereka."Maria tersenyum.
"Tapi, itu mustahil kak. Lambat laun saya akan berhenti juga, dan pergi dari sini...."Siti
menggeleng. Mustahil bagi dia untuk terus menetap di sini. Sampai bila? Dia tetap orang asing dalam
rumah ini.
"Siti, akak ingin melamar Siti..."
"Melamar?"Dahi Siti berkerut.
"Melamar Siti bagi pihak Abang Min..."Maria mendekati Siti, lalu bertinggung di depan Siti yang
duduk di birai katil.
"Sudikah Siti menjadi isteri Abang Min?" Siti kaku. Soalan apa ini? Wajah Maria yang murung di
renung lagi. Benarkah apa yang aku dengar?
"Jadilah isteri Abang Min, dan jadilah ibu kepada Didi dan Fifi....."Maria tersedu. "Jangan
hampakan akak!"
Pandangan Siti berpinar. Dia tak sanggup untuk mendengar lagi.
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 17
Permintaan itu terlalu berat baginya. Malah kalau dihempap batu sekalipun dia masih mampu
menampungnya. Tetapi yang satu ini bagai meregut segala ketenangannya selama ini. Bagaimana dia
harus memikirkannya? Bagaimana dia harus berkata 'ya' sedang dalam hatinya berperang dengan
segala kekusutan. Kekusutan yang bersimpul-simpul dan akhirnya hanya menyesakkan kepala.
Kenapalah dia harus menghadapi semua ini? Kenapa dia harus tersepit dalam permainan ini? Sudah
ditakdirkankah?
Adakah takdirnya sekusut ini?
Siti menghela nafas. Airmata yang tersisa di hujung mata diseka lagi. Dia mendongak, menatap
syilling yang berukir bunga teratai. Sudah ada bintik-bintik hitam pada permukaan syiling itu. Mungkin
begitu juga bintik-bintik hitam yang telah wujud dalam hidupnya. Yang telah meragut ketenangannya
selama ini. Siti jadi sesak nafas. Dia ngilu memikirkan permintaan Maria siang tadi. Jantungnya bagai
mahu luruh. Dia ingin lari kuat-kuat tinggalkan bilik itu. Kalau boleh dia ingin lari terus dari rumah itu.
Rumah indah yang telah menjerat dirinya sendiri. Sampai hati Kak Mar!
Tahukah Maria yang dia begitu menghormati wanita itu? Begitu terhutang budi pada dia dan Mak
Ungku. Hinggakan untuk berkata 'tidak' pun dia jadi kelu. Untuk menggeleng pun dia tak mampu.
Sampai hatikah dia untuk menolak permintaan gila itu? Jadi isteri Azimin? Ya, Allah.....dia tidak pernah
terfikir sampai ke tahap itu. Apa yang Maria fikirkan tentang dirinya? Pengganti yang layak untuk
menjadi ibu kepada Didi dan Fifi? Mustahil!
"Akak dah tak mampu bahagiakan Abang Min....akak rasa berdosa abaikan dia....akak...."Maria
tersedu lagi. Siti gigit bibir sampai sakit. Kalau boleh dia tidak mahu mendengar lagi.
"Akak nak Siti dapat jaga Didi dan Fifi....abang Min...."Siti pejamkan matanya rapat-rapat.
Fikirannya terus melayang.
Dia sayangkan Didi dan Fifi. Dia sanggup untuk menjaga mereka. Tapi untuk mengahwini
Azimin.....dia tidak yakin dapat melakukannya. Lagipun dia tidak mengenali Azimin langsung. Kenapa
Maria begitu tekad ingin menyerahkan Azimin kepada orang lain. Sanggup bermadu semata-mata mahu
melihat suaminya bahagia kembali. Berbaloikah pengorbanannya itu? Setakat untuk menjaga Didi dan
Fifi dia masih boleh menggaji pembantu rumah khusus untuk anak-anaknya itu. Kenapa mesti menyuruh
suaminya berkahwin lagi? Tidak kecewakah dia?
"Akak sudah lama izinkan Abang Min berkahwin lain, sebab akak dah tak dapat jalankan tugas
seorang isteri dengan sempurna. Sedangkan Abang Min masih perlukan itu semua. Makan pakai dia pun
tak terurus....."Maria bersuara lagi bila melihat Siti hanya mendiamkan diri. "Cuma akak nak pastikan
calon pilihannya adalah tepat. Bukan saja untuk menjaga dirinya....tetapi juga Didi dan Fifi.....itu yang
lebih penting..."
"Biarlah Abang Min saja yang tentukan kak....biarlah dia yang cari calonnya sendiri...."
"Abang Min pilih Siti...."Siti bulatkan mata. Dia bagai tidak percaya.
"Maafkan akak Siti. Akak yang cadangkan Siti....dan Abang Min setuju....dia tak kisah...."
Apalah yang hendak dikata! Siti bagai bermimpi. Azimin telah memilih dirinya. Begitu mudahnya.
Tidak terfikirkah lelaki itu untuk mencari gadis yang lebih sesuai untuk dirinya. Gadis korporat, atau
gadis berkerjaya yang setaraf dengan kedudukannya. Kenapa mesti dia? Adakah kerana cadangan
Maria? Ahh.....Kak Mar...kenapa dia juga yang menjadi pilihan?
"Jangan hampakan akak, Siti....sebelum akak tutup mata..."
"Kak Mar, janganlah cakap macam tu.....akak buat saya serba salah...."Siti menggeleng kepala.
"Siti sudah ada orang lainkah?"Siti menggeleng lagi.
"Siti tak nak khianati akak...."Maria pegang kedua-dua bahu Siti. Dia tersenyum tawar.
"Bukan Siti khianati akak....itu permintaan akak sendiri...."
"Akak tak kecewa?"
"Akak lebih kecewa kalau Siti menolaknya"
Siti tidak tahu apa lagi alasan yang boleh diberikan. Dia jadi buntu. Maria sedikit mendesak.
Sampai begitu sekalikah harapan Maria terhadapnya?
*************************
"Makcik tak paksa Siti untuk terima cadangan Maria tu..."Mak Ungku merenung wajah Siti yang
sembap. Semalaman Siti tidak lena tidur memikirkan keputusannya. Pagi itu dia betul-betul rasa lemah
dan tak bermaya. Dia rasa bagai ingin demam.
"Tapi, makcik pun tak dapat nak halang hasrat Maria..."Dia mengeluh, menunduk seketika. Riakriak
air kolam yang tenang sesekali bersinar terkena cahaya matahari pagi. Pagi yang dingin. Sedingin
perasaan Siti. "Sudah lama Maria berhasrat untuk mencari pengganti dirinya. Dia tahu dia tak lama. Dia
benarkan Azimin berkahwin lain, kerana Maria sendiri sudah tidak dapat memenuhi tanggungjawabnya
sebagai isteri. Sudah 2 tahun dia menanggung sakit. Kali ini keadaan dia semakin membimbangkan."
Siti mendiamkan diri, mendengar butir-butir kata yang keluar dari mulut Mak Ungku. Dia sendiri
kehilangan kata.
"Maria menghidap barah rahim. Rahimnya telah dibuang masa pembedahan pertama dulu. Dia
tidak boleh mengandung lagi..."Mak Ungku menarik nafas panjang. Matanya mula berkaca.
"Hasratnya hanya satu. Ingin melihat Didi dan Fifi mendapat kasih sayang dari orang yang
sepatutnya. Dia memilih Siti kerana percaya Siti dapat memikul tanggungjawab itu.."
"Saya....."Siti telan liur.
"Makcik cuba halang hasratnya dulu, tapi dia berkeras. Katanya ini pengorbanannya yang terakhir.
Dia terlalu sayangkan suami dan anak-anaknya...."Air mata diseka perlahan. Wajah tua itu murung,
sarat dengan kesedihan.
"Makcik tahu, amat sukar bagi Siti..."
"Saya..."Siti menggeleng kepala. "Saya ...tak tahu nak buat apa, Mak Ungku...Saya buntu."
"Jangan paksa diri Siti. Semuanya terpulang pada Siti...."
"Saya perlukan masa, Mak Ungku.."Hanya itu yang mampu dia katakan. Dia tidak boleh berjanji
apa-apa. Hatinya berbelah bagi. Antara pendirian dan simpati.
Mak Ungku genggam tangan Siti. Renungan mereka bertaut. Siti jadi resah sendiri. Dia tahu, dia
tidak akan sampai hati untuk menghampakan Mak Ungku. Walaupun orang tua itu tidak memaksa,
tetapi jauh di sudut hatinya, Siti tahu dia juga mengharapkan kebahagiaan Maria. Membahagiakan Maria
dengan cara memenuhi permintaannya. Permintaan terakhir, bolehkah dianggap begitu? Maria begitu
tega. Merelakan dirinya untuk berkongsi kasih dengan wanita lain. Tidak sedihkah Maria bila melihat
suaminya bergandingan dengan wanita lain. Tidak kecil hatikah dia bila melihat anak-anaknya bermanja
dengan orang lain. Dan sanggupkah Siti menjadi orang pengantara itu? Melukakan hati Maria sekaligus
meragut kasih sayang mereka. Tapi...Maria juga yang bersungguh-sungguh mengharapkan dia. Maria
yang nekad. Dia ikhlas ingin membahagiakan suaminya. Itu yang dia kata. Azimin bagaimana? Kenapa
dia tidak membantah saranan gila Maria itu. Ataupun kalau benar dia ingin berkahwin lain, kenapa tidak
dicari wanita-wanita yang lebih sesuai dengannya. Kenapa pilih dia?
**********************************************
Wari hairan. Sejak 2-3 hari kebelakangan ini Siti kelihatan berlainan benar. Kalau dia pulang dari
pejabat, jarang benar dia melihat Siti di luar. Kalau dulu Siti selalu menyambutnya di kerusi batu tepi
kolam. Dan gadis itu akan tersipu-sipu tiap kali disapa olehnya. Wajahnya memerah, terserlah disebalik
senyumannya itu. Dan Wari berasakan getaran dadanya semakin kuat setiap kali berhadapan dengan
gadis itu. Ahh....tak sanggup lagi rasanya menyimpan rasa!
Hari ini Siti suram lagi. Wari jadi lesu. Dia jadi tidak bersemangat. Senyuman Siti tidak kelihatan
lagi. Kenapa dengan gadis itu? Apa yang membuat dia berubah laku? Wari sedari Siti seakan ingin
menjauhkan diri darinya. Sudah mahu lari-lari. Kalau di meja makan, dia hanya diam. Tiada lagi
renungan mata yang penuh makna. Atau senyuman yang menggegar jiwa. Siti jadi seperti dulu-dulu,
waktu kali pertama berjumpa. Polos dan dingin. Kenapa dengan dia?
Perlukah dia bertemu Siti dan bertanyakan masalahnya? Atau perlukah dia curahkan perasaannya
saat itu juga? Mustahil Siti tidak menyedarinya. Mustahil Siti tidak mengendahkannya. Kenangan di
kampung tempohari masih segar dalam ingatannya. Layanan mesra Siti dan keluarganya bukankah
menggambarkan perasaan gadis itu terhadapnya. Atau Siti hanya berpura-pura? Berpura-pura mesra
dengannya supaya dia tidak hanyut kembali kepada zaman silamnya. Berpura-pura untuk memberi
semangat kepadanya. Kemudian, setelah dia mendapat keyakinan, Siti akan berlalu pergi. Begitu?
Mustahil. Mustahil Siti hanya berpura-pura. Kerana dia sendiri yakin akan perasaan Siti terhadap
nya. Walaupun gadis itu tidak pernah mengiyakan, apatah lagi melafazkan, tapi gerak lakunya sudah
cukup menggambarkan segalanya. Wari yakin. Dia tidak bertepuk sebelah tangan. Tapi kenapa gadis itu
menjauhkan diri tiba-tiba. Apa yang telah dia lakukan? Adakah Siti tahu pertemuannya dengan Rina
tempohari? Mustahil! Wari tidak fikir Siti menjauhkan diri darinya kerana Rina. Gadis itu telah lama dia
tinggalkan. Dan dia memang bercadang untuk memberitahu Siti tentang hubungannya dengan Rina
yang telah berakhir.
Selepas itu dia bercadang untuk memaklumkan hasratnya kepada Mama. Hasrat untuk memiliki
Siti. Dia ingin Siti jadi miliknya. Dia ingin Mama tahu dan sekaligus merestuinya. Sudah kerap kali dia
membawa Siti keluar tanpa pengetahuan Mama. Dia tidak mahu Mamanya beranggapan bukan-bukan
terhadap mereka, lebih-lebih lagi terhadap Siti. Kerana itu Wari bercadang untuk menemui Mamanya
nanti. Dia inginkan hubungan yang lebih bermakna dengan Siti. Kerana dia rasakan hatinya cukup
bersedia untuk itu. Bila Mama tanya tentang hubungannya dengan Rina, dia akan katakan semuanya
telah selesai. Dia dan Rina sudah berpisah, atas kehendak hatinya sendiri. Pasti Mama juga gembira
kerana sedari dulu dia kurang berkenan dengan pelakuan Rina. Wari sedari itu.
Wari tidak kisah walau Siti gadis kampung. Yang kecil-kecilnya dulu ralit bermain dengan getah
sekerap. Yang pakaiannya saban hari hanya baju kurung atau berkain batik. Dia tidak kisah semua itu.
Baginya yang penting hati dan perasaan. Perasaannya terhadap gadis itu bukan dibuat-buat. Dia serius.
Dia ingin tinggalkan semua kegiatan silamnya yang bukan-bukan. Dia ingin jadi orang yang lebih
bertanggungjawab. Sekurang-kurangnya kalau bukan pada orang lain, pada dirinya sendiri. Dan saat ini,
dia berasakan sudah sampai masanya untuk dia mendampingi seseorang yang diperlukan sepanjang
hidupnya. Dan orang itu adalah Siti.
********************
Mak Jah melepaskan helaan nafas. Wajah anak daranya yang bersandar di tepi pintu di pandang
lama. Rasa kesian pula dia pada Siti. Tidak habis-habis dia dibebankan dengan masalah seperti ini.
Kalau dengan Huzair dulu, dapatlah juga dia memberi alasan. Kali ini nampaknya payah benar dia
hendak membuat keputusan. Mak Jah sendiri tidak tahu, siapakah yang Siti inginkan. Setahunya Siti
tidak berkawan dengan sesiapa. Lelaki yang dibawa balik tempohari itu, juga dinafikan. Walaupun Mak
Jah suka benar dengan anak muda itu. Sopan dan tidak banyak kerenah walaupun terpaksa tinggal di
rumah buruk mereka itu. Selalunya anak-anak orang senang ini tidak betah tinggal lama-lama di rumah
kampung begitu. Kemudahan kurang, tak ada hiburan. Tetapi anak muda tempohari gembira benar
menghabiskan cuti di sini.
"Kesian Kak Mar tu, mak....."Siti memecah kesunyian. Pandangannya tidak beralih, masih
tertancap ke luar sana.
"Habis tu...Siti nak terima semata-mata kesian?"Mak Jah mendengus. Tangannya ligat memarut
batang ubi, untuk dibuat opak-opak.
"Siti tak sampai hati..."
"Itulah Ti.....selalu tak sampai hati. Dulu Huzair tu, boleh pulak Siti tolak...."Siti toleh ke arah Mak
Jah. Dia muncungkan mulut.
"Huzair lain mak. Dia boleh cari lain. Tapi Kak Mar ni.....beriya-iya sangat...."
"Mana ada orang beriya-iya nak bermadu, Siti?"Mak Jah berhenti memarut. Rasa lenguh pula
tangan tuanya. "Ini...siap dicarikan madu untuk suaminya...sanggup dia..."
"Entahlah mak, Kak Mar tu macam dah putus asa...."Balas Siti lemah."Kesian Siti tengok dia..."
"Tak habis-habis kesian dengan orang, diri sendiri yang merana..."Rungut Mak Jah, melunjurkan
kakinya seketika. Tinggal 2-3 biji ubi lagi yang perlu diparut.
Siti berinsut mendekati ibunya. Tangannya menguis-nguis sisa ubi kayu yang berkecah sekeliling
dulang. Bau ubi kayu yang diparut kuat menusuk hidung. Pagi esok dia akan kembali semula ke KL. Dia
akan berterus terang dengan Maria tentang keputusannya. Dia sudah bincangkan perkara itu dengan
kedua orang tuanya. Entah. Agaknya inilah suratan hidupnya yang telah ditentukan. Mungkin ada
hikmah disebaliknya. Siapa tahu?
"Abang akan cuba kenali Siti, dan Siti pun cubalah kenali abang secara perlahan-lahan.......abang
takkan paksa Siti untuk terima abang..."Azimin bersuara sewaktu menghantarnya ke puduraya
empohari. Kali pertama dia berbual dengan lelaki itu setelah diizinkan Maria.
"Cinta tak boleh dipaksa...tapi..abang ikhlas terima Siti.."Siti mendongak, menatap wajah lelaki
itu. Pandangan yang bertaut, masih sukar dimengertikan.
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 18
Pagi itu, Siti terjaga awal kerana mendengar keriuhan di luar bilik. Dia menjenguk ke luar tingkap
melihat pemandangan yang masih kelam. Jam loceng di atas meja dikerling sekilas. Baru pukul 6.00
pagi. Apa yang kecoh sangat? Dia menguap sambil mengeliat. Membiarkan tulang temulangnya
mengeluarkan bunyi, yang sedikit melegakan. Seketika dia bersandar di dinding, dengan kaki melunjur,
masih dengan selimut paras pinggang. Pagi itu tidak hujan, tetapi dinginnya menusuk ke tulang hitam.
Siti mengeliat sekali lagi sebelum merebahkan kembali tubuhnya. Dia ingin menghabiskan sedikit masa
lagi. Sementara Didi dan Fifi masih bercuti, dia punya sedikit masa untuk menyambung tidur. Tidak
perlu terkocoh-kocoh menyiapkan mereka berdua. Biasanya waktu cuti sekolah, jam 8 atau 9 baru
mereka bangun mandi.
Malam tadi, sebaik sampai dari kampung, dia tidak sempat menemui Maria bagi menyatakan
keputusannya. Maria telah lama lena. Wari juga tidak kelihatan, walaupun kadangkala Siti rasakan
perasaannya seperti terdesak untuk bertentang mata dengan lelaki itu. Dan berbual-bual seperti biasa.
Sudah lama rasanya mereka tidak berbicara. Siti rasakan satu kejanggalan, tapi dia tahu itu yang
sepatutnya berlaku antara mereka. Jangan biarkan perasaan itu terus menguasai jiwa mereka.
Kelopak matanya yang semakin memberat mula dirasakan tidak mampu lagi ditahan. Siti
membetulkan duduk kepalanya, bila sayup-sayup dihujung telinga dia mendengar ketukan di pintu. Siti
mengamati lama. Ada suara garau di luar sana. Siti bingkas semula. Dia menguap sekali lagi. Rasa
marah tiba-tiba menerjah dalam hati. Tapi digerakkan juga kakinya melangkah ke pintu. Kalau bukan
Kartini, pasti Lisa yang mengganggunya pagi-pagi itu.
"Siti..."Suara itu kedengaran sebaik pintu dibuka. Siti mendongak. Wajah Azimin yang segar,
dengan baju sejuk tebal terjengul depan mata. Siti sedikit kaget.
"Err..."Suaranya bagai tersekat di kerongkong.
"Maaflah kalau menganggu Siti pagi-pagi ni.....err....boleh tak Siti tolong siapkan Didi dan Fifi?"
"Nak ke mana?"Siti membetulkan rambutnya. Sedikit segan dia dengan keadaannya pagi itu.
"Abang nak ke hospital, nak hantar Maria..."Azimin menunduk.
"Kenapa dengan Kar Mar? "Suara Siti sedikit kuat.
"Dia pitam dalam bilik air pagi tadi...abang kena hantar sekarang. Siti tolong kejutkan Didi dan
Fifi, suruh mereka bersiap. Pukul 8 nanti, abang balik ambil mereka."
"Ya Allah..."Keluh Siti. Dia menggeleng kepala. Terbayang wajah Maria yang pucat lesu.
Azimin berpaling, tetapi menoleh kembali setelah menapak beberapa langkah. Dia merenung Siti
lama.
"Err...Siti jangan lupa bersiap sekali ye. Kita pergi sama-sama.."Azimin tersenyum. Siti
mengangguk, tapi masih lagi tercegat di muka pintu. Dia memerhatikan langkah Azimin yang pantas
tapi kemas. Kasihan Azimin! Begitu sabar melayan sakit pening Maria. Mungkin juga kesetiaan Azimin
itulah yang membuatkan Maria rela untuk berkongsi kasih. Rela untuk berkorban demi kebahagiaan
suaminya
Siti membersihkan diri dan mengemas bilik sebelum naik ke tingkat atas. Dia mengejutkan Didi
dan Fifi yang masih lena. Menyuruh mereka mandi dan bersiap sementara menunggu Azimin pulang.
Sementara itu , Siti turun ke dapur semula menyiapkan sarapan. Sekadar roti bakar dan susu, rasanya
cukup untuk mengalas perut. Dia tidak sempat untuk menggoreng mee atau cucur kodok. Kartini pula
kelihatannya seperti baru sampai pagi itu. Dia kelihatan seperti tidak cukup tidur. Tetapi sempat
melemparkan senyuman pada Siti. Sesuatu yang tidak terduga oleh Siti.
"Tak sihat ke, Kak Tini?"Tegur Siti.
"Emm...biasa-biasa saja.."Dia membalas agak ramah. Beg berisi pakaiannya di letak atas meja.
"Kejap lagi, saya nak ke hospital dengan Didi dan Fifi..."Siti memasukkan roti bakar dalam bekas
kecil.
"Ke rumah sakit?"Siti angguk.
"Emm...Kar Mar tak sihat....kena masuk hospital..."Balas Siti lagi. Kartini diam.
"Kamu pergi dengan siapa, Wari ya?"
"Tak...dengan Abang Min. Kejap lagi dia balik ambil Didi dan Fifi. Kak Tini mahu ikut sekali?"
"Err..eh ...nggak usah lor. Kok makannya siapa yang mahu bikin...Mak Ungku butuh saya di
sini...."Siti senyum.
"Kalau gitu, saya naik atas dulu ye. Tengok budak-budak tu...."Kartini tidak menyahut.
Siti naik semula ke atas mendapatkan Didi dan Fifi. Mengajak mereka turun untuk bersarapan.
Selesai sarapan mereka menunggu Azimin di ruang tamu. Hampir jam 9 baru kereta Azimin masuk ke
perkarangan rumah. Azimin kelihatan sedikit mengantuk, tetapi dia tersenyum bila terpandang Siti. Didi
dan Fifi terus mendapatkan Papa mereka.
"Kita nak ke mana ni, Pa?"Didi mendongak, menarik tangan Azimin. "Kita ke hospital ye sayang.
Mama ada di sana..."Azimin mengusap rambut Didi, kemudian dia mendukung Fifi. "Siti masuk kereta
dulu, Abang naik atas kejap, jumpa Mama..."
"Abang nak bawak Mak Ungku sekali, ke?"Tanya Siti.
"Tak lah...abang nak bagitahu Mama supaya jangan bimbang. Petang nanti lepas zohor, baru
Mama datang..."Balas Azimin sebelum melangkah.
Mereka sampai di Hospital pakar jam 10. Maria ditempatkan di wad pertama. Sampai di sana,
mereka tidak dibenarkan masuk ke bilik kerana Maria masih dalam rawatan. Setengah jam kemudian
barulah doktor keluar dari bilik. Doktor berbangsa Sigh itu bercakap sesuatu pada Azimin. Berkerutkerut
wajah Azimin mendengar kata-kata doktor tersebut. Siti hanya memerhati dari jauh. Sambil
memangku Fifi yang masih menangis sedari tadi. Setelah doktor beredar, Azimin menggamit mereka
masuk ke dalam bilik.
Maria yang terlantar masih belum sedarkan diri. Urat-urat mengandungi cecair berselirat di
pergelangan tangan. Wajahnya pucat, dan ada kesan lebam di dahi. Menurut Azimin, dahi Maria
terhantuk di tub mandi ketika dia jatuh tersembam. Fifi menangis sambil memeluk Mamanya yang kaku
itu. Terpaksa pula Siti memujuknya, takut-takut kalau Maria terjaga dengan tangisan Fifi itu.
"Kita tunggu sampai Kak Mar sedar ye?"Azimin menarik kerusi ke arah Siti. Siti segera
melabuhkan punggung sambil meriba Fifi. Renungan Azimin tepat di wajahnya.
"Siti lapar?"Siti menggeleng.
"Dah sarap kat rumah tadi dengan Didi dan Fifi..."Dia melemparkan senyuman.
"Abang minta maaf kalau menyusahkan Siti..."
"Tak laa..."
"Siti sedia tanggung ini semua?"
"Maksud abang?"
"Permintaan Kak Maria..."Siti menunduk. Hatinya jadi tidak keruan. Dia jadi serba salah. Dia
sudah maklumkan pada Azimin tempohari. Dia perlukan sedikit masa untuk lebih mengenali lelaki itu.
Mereka perlu menyesuaikan diri. Siti sendiri akan cuba memperuntukkan masa untuk mendekati lelaki
itu. Mungkin dengan cara itu mereka akan lebih kenal diri masing-masing. Mereka perlu saling
mengenali sebelum perkahwinan itu berlangsung. Dan perkara itu yang hendak dinyatakan kepada
Maria nanti. Malangnya Maria sudah tidak sedarkan diri.
"Kenapa abang terima permintaan Kak Mar?"Siti mendongak kembali, menentang mata Azimin.
Azimin tarik nafas panjang.
"Kerana abang dah jumpa calon yang sesuai..."Balasnya lambat-lambat.
"Siti?"Dia mengangguk.
"Tapi abang baru saja jumpa Siti. Abang belum mengenali Siti..."
"Sebab itu abang ingin kenal Siti lebih dekat lagi. Bila Kak Mar cadangkan abang supaya
berkahwin lain, abang tak nak fikirkan sangat. Lagipun, abang tak jumpa lagi orang yang sesuai untuk
menjaga anak-anak abang. Tapi, abang kasihankan Maria....."Dia melemparkan pandangan ke
luar. "Abang tak nak lukakan hati dia, tapi dia yang mendesak abang supaya berkahwin lain. Dia rasa
bersalah kerana mengabaikan abang......"
"Tapi, abang tidak mencintai Siti bukan?"Siti memberanikan diri bertanya. Dia memandang
Azimin, mencari reaksi lelaki itu. Azimin gigit bibir. Dia merenung Siti lama. Bibirnya mengukir
senyuman.
"Siapa kata?"Siti diam. Hatinya jadi tidak keruan. Dia jadi tidak berani menentang wajah lelaki itu.
"Cinta boleh dipupuk, Siti. Yang pasti, abang sukakan Siti sejak pertama kali jumpa Siti di airport
dulu....."Sambungnya, tersenyum nipis.
Siti memeluk Fifi erat. Sambil itu direnungnya wajah Maria yang tidur lena. Setiap kali
memandang wajah itu, dia jadi serba salah. Dia tidak tahu adakah keputusannya itu betul atau
sebaliknya. Dalam keadaan Maria begini, adakah dia patut meneruskan permintaannya itu. Adakah
wajar? Ah...Kak Mar...sedarlah cepat. Banyak perkara yang Siti ingin katakan ini!
Pintu diketuk dari luar, dan mereka serentak mengalih pandangan. Wajah Wari yang terjengol di
muka pintu, sedikit mengejutkan Siti. Pandangan mereka bertembung, dan Siti lihat ada kekerutan pada
wajah lelaki itu. Wari masuk, tersenyum tawar. Nyata, dia sendiri gamam melihat dua manusia di bilik
itu. Hatinya jadi berdebar. Sudah lama rasanya dia tidak berbicara dengan Siti. Dan kali ini mereka
bertemu semula, tetapi dalam suasana yang sungguh tidak disangka. Kenapa Siti berada di sini? Adakah
dia menemani Didi dan Fifi atau Azimin sendiri. Hati Wari jadi geram tiba-tiba. Cepat-cepat
pandangannya dialihkan kepada Azimin. Perlahan dia mendekati lelaki itu.
"Ri dengar Kak Mar jatuh kat bilik air tadi?"Suaranya mendatar. Azimin mengangguk. "Subuh tadi,
abang tengah tidur masa tu...dia ke bilik air..."Balas Azimin.
"Macamana keadaan dia?"
"Belum sedar lagi....tapi doktor kata tak berapa bagus...."Wari menghela nafas.
"Mama tak ikut sekali?"
"Petang nanti abang ambil dia....pagi ni biarlah Mama rehat je...kau dari mana ni?"Wari duduk di
sebelah Azimin. Pandangannya terarah kepada Siti. Siti cuba tersenyum tapi tiada balasan.
"Dari ofis...."
"Kau kemana semalam? Mama cakap kau tak balik rumah?"Azimin berkerut memandang Wari.
Wari terdiam seketika, memainkan hujung jarinya. Seperti keberatan dia untuk menjawab.
"Tak kemana..."Balasnya malas. "Lepak rumah member jap...."
"Abang ingat tak balik ofis ari ni...nanti Wari tolong jumpa Mr. Hendra, supposed abang ada
appointment dengan dia hari ni..."Wari tidak menjawab. Hanya matanya yang tancap memandang Siti.
Sehingga Siti jadi serba salah sendiri. Tak sanggup rasanya dia bertentang mata dengan lelaki itu.
Perasaannya bergejolak. Kalau ikutkan hati, dia ingin keluar saja dari bilik itu. Tak mahu dia berhadapan
dengan kedua-dua lelaki ini.
"Siti buat apa kat sini?"Wari bersuara semula.
"Abang ajak dia tadi. Temankan Didi dan Fifi ni...."Azimin membalas. Wari hanya tersengih. Dia
menggeleng kepala beberapa kali.
*********************************
"Kak Mar tu dah gila ke Ma?"Wari bangun dari kerusi. Hatinya panas, bagai disimbah dengan api.
"Kenapa ni, Wari?"Mak Ungku pandang wajah Wari yang memerah. Terkejut dia bila tiba-tiba Wari
masuk ke bilik dan marah-marah begitu. Semalaman dia tidak pulang ke rumah, balik-balik terus
meninggikan suara.
"Wari dengar Azimin nak kawin dengan Siti?"Wari berpaling, menatap wajah ibunya. Mak Ungku
mengeluh.
"Betul ke Ma?"
"Kenapa Ri tak tanyakan sendiri pada Maria?"
"Wari pergi ke hospital tadi. Kak Mar belum sedar lagi. Lagipun Azimin dengan Siti pun ada kat
sana...."
"Habis tu, kenapa tak tanyakan pada Azimin?"Wari mendengus.
"Saya nak tanya pada Mama...betulke diorang tu nak kawin?"Wari berganjak ke arah Mak Ungku.
"Emm....dah Maria yang minta begitu..."
"Tapi, kenapa?"
Mak Ungku menggeleng. Dia sendiri sukar untuk menjawabnya. Biarlah Maria saja yang
menerangkan kepada adiknya ini.
"Takkan Kak Mar senang-senang bagi Azimin kawin. Kak Mar kan tengah sakit..."
"Wari...."Mak Ungku sentuh bahu Wari. "Ini atas persetujuan Maria sendiri. Dia mahu suaminya
berkahwin lain. Maria dah lama sakit, Wari. Azimin pula perlukan seseorang yang dapat
menguruskannya. Mama dah cuba pujuk Maria, tapi dia tetap bertegas. Dia mahu Siti jaga anak-anak
dia..."
"Tapi kenapa Siti, Ma?"
"Kenapa? Wari tak suka ke? "Mak Ungku renung sayu wajah Wari. Dia bagai dapat meneka hati
anaknya itu.
"Kenapa tak orang lain?"
"Wari sukakan Siti?"Wari mendongak. Bibirnya kelu tiba-tiba. Dia tarik nafas panjang. Kalaulah
Mamanya tahu!
"Kenapa Kak Mar sanggup bermadu?"Wari tekup muka dengan tapak tangan. Diraup wajahnya
beberapa kali. Yang sebenarnya, dia tidak kisah kalau Azimin ingin berkahwin lagi. Dia sendiri tahu,
keadaan Maria yang tidak mengizinkannya untuk melayan suaminya. Tambahan, Maria sudah tidak
mampu melahirkan zuriat. Sebagai lelaki, Azimin ada hak untuk berkahwini lain. Tapi kenapa memilih
Siti. Bukankah ramai lagi perempuan lain yang boleh dijadikan isteri. Kenapa mesti Siti?
"Siti setuju?"Mak Ungku menggeleng.
"Mama tak tahu..Wari tanyalah dengan Siti sendiri..."
Wari tekup mukanya. Dia rasa benar-benar kecewa. Patutlah Siti menjauhkan diri darinya. Ruparupanya
kasihnya telah beralih arah. Andainya benar begitu!
****************************************************
Maria menggenggam tangan Siti erat. Siti rasakan kedinginan tangan itu. Tapi hatinya sedikit
gembira. Maria sudah mula sedar, dah bibir lesunya masih mampu mengukir senyuman walaupun
tampak payah benar. Siti berganjak mendekatkan telinganya ke mulut Maria. Mulut Maria bergerakgerak
membisikkan sesuatu.
"Abang Min......"
"Abang Min keluar makan, Kak Mar....dengan Didi dan Fifi..."Siti tersenyum.
"Siti... tak makan?"
"Belum...."Siti menggeleng. "Siti nak temankan Kak Mar. Tapi Siti dah minta abang Min
bungkuskan untuk Siti..."Siti urut-urut tangan Maria. Wajah Maria sudah tidak sepucat tadi. Maria
merenung Siti lama. Air matanya mengalir menuruni pipi. Cepat-cepat Siti sapu dengan tuala kecil.
Renungan Maria begitu sayu, menusuk ke tangkai hati. Perlahan, dia menarik tangan Siti ke dadanya.
"Siti...janji...jaga Didi dan ....Fifi....ye.."Suaranya tersekat-sekat.
"Kak Mar..jangan banyak cakap. Kar Mar masih lemah....akak rehat la dulu......"Siti membetulkan
kedudukan bantal. Diperkemaskan selimut yang membalut tubuh Maria.
"Siti...."Maria bersuara lirih.
"Bila akak dah tak ada nanti.....Siti jaga Didi...Fifi...abang Min.."
"Syyyy...."Siti menutup mulut Maria dengan jari telunjuk, menggeleng kepala. "Kak Mar jangan
bimbang...Siti akan jaga mereka..."Maria senyum.
"Siti....terima abang Min..?"Matanya membesar, tampak keriangan pada riak wajah itu. Siti
menggangguk.
"InsyaAllah....."Balas Siti perlahan. Hanya itu yang mampu dia katakan. Dia tidak mahu hati Maria
terlalu rungsing memikirkan perkara itu. Biarlah dia berkorban dan terima saja. Asalkan itu dapat
menggembirakan Maria.
"Terima kasih Siti..."Dia tersenyum gembira. Hati Wari sebal melihat barang-barang perhiasan
yang tersusun cantik di ruang tamu. Ada gubahan bunga, kotak-kotal kecil berenda, dan mangkukmangkuk
kaca yang berhias manik-manik halus. Semuanya tersusun indah. Menggamit setiap mata
yang memandang. Setiap kali pulang ke rumah, dan melihat semua itu, hati Wari bagai disiat-siat. Dia
jadi panas. Ingin saja dia menjerit memberitahu seisi rumah tentang hatinya. Tentang marahnya. Tapi
lidahnya kelu. Dia berasakan perasaannya begitu membuak, tapi semuanya hanya terpendam. Ingin
marah, tapi pada siapa. Pada Siti, atau Azimin, atau Maria sendiri? Sedangkan Siti sendiri merelakan.
Azimin apatah lagi. Maria pula, dia yang mencadangkan! Aggghhhh....apa haknya untuk menghalang!
Sakitnya hati melihat kemesraan mereka berdua. Saban petang bersama. Makan bersama. Keluar
bersama. Tergamaknya mereka bersuka ria begitu dalam keadaan Maria terlantar di katil. Sampai
hatinya mereka! Tidakkah mereka sedar, perbuatan mereka itu hanya akan mengguris perasaan Maria.
Maria yang sedang berjuang dengan nyawanya, dan mereka berdua masih sempat keluar mencari
barang-barang perkahwinan mereka? Manusia apakah Azimin itu? Jenis suami apakah dia? Tidak
terfikirkah dia pada saat-saat seperti itu tempatnya adalah di sisi Maria. Memberi semangat dan katakata
harapan kepada isterinya itu. Bukannya mengulit gadis lain, dan berseronok-seronok begitu.
Wari tidak percaya kalau Siti sendiri merelakan. Dia dapat merasakan perasaan Siti yang
berperang. Gadis itu tak sepenuhnya rela. Dia tahu. Dia tahu hati Siti masih padanya. Sinar matanya
masih seperti dulu, walaupun sengaja dielakkan. Walaupun dia tampak gembira bersama Azimin.
Tapi Wari yakin, semua itu pura-pura. Kenapa Siti harus mensia-siakan masa depannya demi memenuhi
permintaan orang lain?
"Siti...."Wari nekad untuk mencelah masuk ke bilik Siti pada suatu pagii. Terkejut gadis itu dengan
kemunculannya.
"Wari, kenapa masuk sini, tak manis kalau orang nampak...."Siti sedikit gelisah. Dia berganjak ke
belakang.
"Maafkan Wari.."Wari berdiri di tepi pintu. "Wari perlu bercakap dengan Siti...."
"Cakap apa...cepatlah...nanti Kartini nampak macamana..."Siti mengeluh. Wari menghampiri Siti.
Berdiri betul-betul di depan gadis itu. Wajahnya sedikit sayu, merenung tunak ke mata Siti.
"Kenapa Siti buat ni semua?"
"Buat apa?"
"Kenapa Siti korbankan perasaan Siti semata-mata untuk kebahagiaan orang lain?"Siti menunduk.
Dia kertap bibirnya sampai sakit.
"Kenapa Siti berubah?"
"Siti tak berubah apa-apa pun...."
"Termasuk perasaan Siti?"Wari mengeluh. "Wari tahu, perasaan Siti tak akan berubah. Siti masih
seperti dulu, hati Siti masih pada...."
"Siti tak nak cakap pasal ni.."Siti berpaling.
"Siti..."Wari tangkap pergelangan tangan Siti. Ada sedikit rontaan di situ. "Berterus teranglah
pada Wari. Siti tak akan mengahwini Azimin..."Siti menggeleng."Siti tidak cintakan Azimin bukan?
Jangan ikutkan sangat permintaan Maria..."
"Siti lakukan dengan kerelaan Siti sendiri..."
"Mustahil!"Wari mendengus. Genggaman dilepaskan. "Mustahil Siti boleh cintakan Azimin sekelip
mata."
"Cinta boleh dipupuk, Wari....."Siti mendongak, kembali menghadap Wari.
"Ohh...jadi sekarang ni tengah memupuk cinta dengan Azimin? Laki orang beranak dua?"Wari
menjuih. "Yang bininya tengah terlantar sakit, dan korang bersuka ria, membelah-belah...beli itu dan
ini.."
"Wari!"Siti meninggikan suara. "Siti lakukan ini semua demi Kak Mar sendiri..."
"Ini namanya kerja gila! Tergamak Siti bermadu, menjadi bini ke dua. Menjaga anak-anaknya...
Siti merampas kebahagiaan orang lain..."
"Terpulang pada Wari untuk cakap apa pun. Bagi Siti, ini pengorbanan Siti.."
"Pengorbanan!"Wari ketawa sinis. "Pengorbanan apa kalau hanya melukakan perasaan sendiri,
dan perasaan orang lain..."
Siti mengesat pelupuk mata yang mula digenangi air jernih. Dia rasa sakit hati, dah sedikit
terguris dengan kata-kata Wari. Mengapa Wari tidak mahu faham. Dia lakukan ini demi Maria, kakaknya
juga. Kakaknya yang sedang menyabung nyawa. Dia bukan sengaja. Dia sendiri tersepit,dan sengaja
melupakan segala keterpaksaan yang dia lakukan. Dan kini persiapan sudah mula dilakukan. Walaupun
hatinya kadangkala terasa berat, tapi dia tidak dapat berpatah semula. Azimin pun sudah beriya benar.
Ada saja barang-barang yang hendak dibelinya. Bagai meraikan perkahwinannya yang pertama. Siti
serba salah, tapi apa lagi yang boleh dia lakukan. Dia sudah menyatakan persetujuan pada Maria. Mak
Ungku juga sudah dimaklumi. Minggu depan, Azimin akan mengikutnya pulang ke kampung untuk
bertemu kedua ibubapanya. Memohon restu mungkin. Entah apalah perasaan orang tuanya bila
mengenangkan anak dara mereka yang bakal menjadi isteri kedua.
"Siti..."Suara Wari bergetar, sedikit sebak. "Siti tahukan perasaan Wari...."Terhenti seketika.
"Wari harapkan sesuatu dari hubungan ini..."
"Anggap saja kita tak ada jodoh Wari..."Siti tarik nafas panjang. Hujung mata diseka sekali lagi.
Dia tidak sanggup menentang wajah Wari.
"Jodoh kita kuat Siti...Wari dapat rasakan..."
"Sudah lah Wari. Jangan keruhkan lagi keadaan....semuanya dalam persiapan sekarang..."Siti
berpaling ke pintu. Dia menunggu kalau Wari bersedia untuk keluar.
"Sampai hati kau Siti..."Bisik hati Wari pedih.
Dan itu adalah kali terakhir dia bertemu Siti. Selepas itu, rumah besar ini sudah tidak bermakna
lagi baginya. Bahang panas yang wujud dalam hatinya makin hari makin membengkak. Dia benci tiap
kali melihat kelibat Azimin. Dia benci pada Maria dan Mama yang tidak mahu faham perasaannya. Dan
pada Siti pula, dia jadi benci dengan pendirian gadis itu. Terlalu mudah goyah hanya kerana budi dan
simpati. Simpati pada Maria bukan begini caranya. Tidak perlu berkorban jiwa raga dan perasaan untuk
membalas budi yang tidak seberapa. Dia ada hak yang perlu dipertahankan. Sukar benarkah untuk
berkata 'tidak'. Hanya kerana simpati, semua permintaan harus dituruti?
Biarlah mereka mencarinya. Biarlah mereka risau dengan kehilangannya. Sudah seminggu dia
tidak pulang ke rumah, dan urusan pejabat juga sudah lama dia tinggalkan. Biarlah Azimin saja yang
menguruskan. Biarlah semuanya dikuasai lelaki itu. Dia sudah tidak peduli lagi. Perkahwinan mereka
juga, tidak akan dia hadiri. Wari sudah bulat hati.
******************************
Airmata Siti mengalir lagi. Rindunya dia pada Wari, hanya Tuhan yang satu. Sesekali perasaan itu
menusuk dalam hatinya. Sudah seminggu lamanya dia tidak melihat wajah lelaki itu. Kecewakah dia?
Patah hatikah dia? Tidak mahu kembali lagikah dia ke rumah ini. Sudah seminggu Mak Ungku cuba
menghubungi. Lisa juga keluar untuk mencari. Kawan-kawan lamanya juga tidak tahu kemana Wari
pergi. Kenapa sampai jadi begini?
Besar benarkah perasaan Wari terhadapnya, sampai dia nekad bertindak begini? Kuat benarkah
hatinya untuk dia? Kenapa Wari mesti menghilangkan diri? Kenapa buat tindakah bodoh begini? Siti naik
bingung bila memikirkan hari-hari bahagianya yang akan menjelang tiba. Semakin mendekat, semakin
tak keruan hatinya. Kadang-kadang dia fikirkan betapa tidak patutnya pernikahan itu dijalankan
sedangkan Maria masih terlantar. Walaupun Maria sendiri telah mengizinkan, dan berkali-kali meminta
pernikahan dijalankan, sebelum apa-apa yang buruk berlaku terhadapnya. Sebelum ajal menjemputnya.
Mengapa Maria terlalu yakin pada ajalnya itu? Bukankah manusia dilarang untuk berputus asa.
Bukankah manusia digalakkan berusaha selagi terdaya.
Siti sedar, setelah beberapa minggu cuba mengenali Azimin, perasaannya tetap sama. Tetap
seperti dulu. Dia telah cuba untuk menyukai lelaki itu. Walaupun sedikit dirasakan penerimaan terhadap
lelaki itu, dia masih tidak dapat mengikis nama Wari dari hatinya. Ternyata lelaki itu sendiri tahu akan
perasaannya. Cuma dia yang tidak mahu mengakuinya. Dia berpura-pura menjauhkan diri dari lelaki itu.
Cuba melupakannya. Tapi ternyata dia tidak pernah berjaya membuangnya. Perasaan itulah yang
pertama kali tumbuh dalam hatinya.
Wari, maafkan aku....
Minggu ini, minggu terakhir dia di sini. Selepas itu dia akan pulang ke kampung. Melakukan
persiapan terakhir sambil menanti hari bersejarahnya. Dan kemudian dia akan kembali ke rumah ini
semula. Bukan sebagai babysitter, tetapi sebagai isteri Azimin, ibu kepada Didi dan Fifi. Siti sendiri tidak
pasti apakah warna hari-hari mendatangnya nanti.
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 19
Hujan masih turun. Sebentar tadi masih renyai, dan kini sudah mula mencurah. Ada petir yang
mendesingkan telinga di luar sana. Siti tarik nafas panjang. Nafasnya jadi sesak. Kalaulah dia tahu akan
hujan begini....tidak akan dia jejak kaki di situ. Tidak akan dimintanya Pak Amin pulang ke rumah dulu.
Perginya pun bukannya lama. Apa salahnya dia minta saja Pak Amin tunggu dia di luar. Tidaklah dia
perlu meredah hujan pagi-pagi begitu. Bayang teksi yang ditunggu-tunggu pun tidak kelihatan lagi. Siti
jadi keresahan sendiri.
Dia memang bercadang untuk singgah di situ. Sebelum pulang ke kampung esok lusa, dia ingin
beli sedikit barang untuk emak di kampung. Sebab itu, pagi tadi selepas menghantar Didi dan Fifi ke
sekolah, Siti minta Pak Amin hantarkan dia ke pasaraya tersebut. Dia berpesan kepada Pak Amin supaya
tidak perlu menunggunya. Dia boleh dapatkan teksi untuk pulang ke rumah. Bukannya jauh sangat.
Lagipun, Lisa pernah mengajarnya pulang ke rumah menaiki teksi. Rasa-rasanya dia masih ingat selok
belok jalan yang perlu dilalui.
Beberapa orang yang masih beratur didepannya, sedang sabar menunggu giliran. Siti mengangkat
kainnya tinggi-tinggi. Percikan hujan membasahi hujung kaki. Sebuah teksi bergerak perlahan di
depannya. Cepat-cepat Siti berlari anak membuka pintu. Nafas ditarik lega sebaik berada di dalam perut
teksi.
"Bukit Antarabangsa.."Dia bersuara perlahan sebaik teksi bergerak. Matanya tertancap ke arah
bintik-bintik halus di cermin tingkap. Mengkaburi pandangan. Perlahan dia menyandarkan tubuhnya,
sambil tersenyum lega. Fikirannya sedikit lapang kini. Sampai di rumah nanti, dia ingin menelefon
Azimin, memaklumkan kepada lelaki itu yang dia telah pun selamat sampai di rumah. Tidak perlulah
Azimin menjemputnya petang nanti. Kerana pada awalnya Siti bercadang untuk ke rumah Kak Melah
selepas membeli barang dan Azimin pula ingin menjemputnya di rumah Kak Melah petang nanti. Tapi
Siti jadi risau pula dengan hujan yang semakin lebat itu. Dia bercadang untuk pulang saja. Malam nanti,
dia boleh telefon Kak Melah untuk datang mengambil barang-barangnya. Dua minggu dia akan bercuti
dan pulang ke kampung. Ahh....segala-galanya terasa begitu pantas dan janggal. Dapatkah dia
berhadapan dengan semua kejanggalan ini?
Wajah Azimin yang redup dan sentiasa tenang itu, menggamit perasaan. Walaupun sampai saat
ini Siti sendiri tidak tahu perasaan apakah yang ada dalam hatinya.Sukakah. Bencikah. Atau
terpaksa....dia sendiri keliru. Dia sudah melangkah dua tapak ke hadapan dan untuk berundur walau
setapak pun dia sudah tidak mampu. Cinta dan kehidupannya telah diatur kini. Hari-hari bahagianya
akan menjelang tiba. Kalau itulah yang dikatakan bahagia. Dia tidak tahu kenapa dalam hidupnya selalu
diberi pilihan yang tidak adil. Memilih atau tidak, keadaannya tidak banyak beza. Terima atau tolak,
kedua-dua pasti menjerut lehernya juga. Kalaulah dulu dia terima saja lamaran Huzair. Tidak perlu dia
menghadapi semua ini. Mungkin saat ini dia juga sedang menanti hari bahagia. Bezanya dengan Huzair,
yang terang-terang mencintainya. Bukan dengan Azimin yang dia sendiri tidak tahu hati budinya.
Ikhlaskah dia. Relakah dia. Atau semuanya dilakukan untuk memenuhi hasrat Maria semata-mata.
Adakah masing-masing terpaksa?
Teksi terus meluncur laju, dengan keadaan hujan yang semakin lebat. Siti memeluk tubuh, cuba
mengimbangi kedinginan penghawa dingin. Sesekali dia memejamkan mata. Membayangkan wajahwajah
yang berada disekelilingnya. Wajah-wajah yang menuntut pengorbanannya. Wajah pengharapan.
Wajah Wari yang muncul, menyapu semua wajah. Rindunya pada Wari, tapi apalah gunanya dia
menyimpan perasaan itu lagi. Semuanya sudah tidak bererti. Apa yang mampu dia lakukan, cuba
sedaya upaya mengalihkan perasaannya dari Wari kepada Azimin. Kalaulah itu yang mampu dia
lakukan.
Teksi berhenti depan rumah. Siti membayar tambang, lantas buru-buru keluar. Nasib baik dia
bawa kunci rumah. Kalau tidak, berhujanlah dia diluar. Mak Ungku dan Maria pasti masih belum terjaga.
Hujan-hujan begini alangkah seronoknya dapat melengkar bawah selimut. Sampai ke tengahari pun tak
apa. Siti masuk ke ruang tamu dengan kaki dan kain yang masih basah. Dia menjengket ke dapur,
mencari alas kaki. Tubuhnya sedikit menggigil, cepat-cepat dia masuk ke bilik, mencapai tuala. Diserkup
rambutnya yang masih menitiskan manik-manik jernih. Pakaian dilucutkan satu persatu. Hanya tinggal
tuala membalut tubuh. Dia mencapai kain batik lalu disarungkan ke tubuhnya. Hujan-hujan begini
memang sejuk hendak mandi. Tapi dia selalu ingat pesan emak dulu-dulu.
Kalau ditimpa hujan, jangan lupa mandi dan cuci kepala bila pulang ke rumah. Supaya tidak
diserang demam atau pening. Siti ingin cepat-cepat mandi dan naik ke atas menjenguk Mak Ungku dan
Maria. Keadaan Maria yang masih tidak berubah sejak keluar dari hospital seminggu yang lalu. Malah
semakin melarat sampai makan dan minum pun terpaksa disuap. Siti baru teringat pagi itu dia belum
sempat memasak bubur untuk Maria. Entah Kartini sudah sampai atau belum. Mungkin belum kerana
hujan lebat di luar. Biasanya kalau hujan lebat begini, Kartini akan telefon meminta Pak Amin datang
menjemput. Tapi pagi ini, Siti sendiri tidak perasan samada Pak Amin sudah pulang ke rumah atau
belum. Dalam keadaan terkocoh-kocoh tadi, dia tidak sempat melihat ke garaj kereta, kalau-kalau ada
kereta yang selalu dipandu Pak Amin. Yang dia yakin, kereta Azimin tidak ada, kerana dia sendiri yang
melihat lelaki itu telah ke pejabat pagi-pagi tadi.
Siti mengutip pakaian basahnya. Bakul kain kotor yang separuh penuh, di pikul tepi pinggang.
Rasanya pakaian kotor tersebut perlu cepat dibasuh. Mana tahu esok lusa hujan lagi. Bila masa pula dia
hendak menjemurnya. Hujung minggu pula sudah pulang ke kampung. Kak Melah yang diharap untuk
membawa beg-beg pakaiannya pulang ke kampung entah kan datang atau tidak. Siti keluar dari bilik,
menuju ke dapur. Bilik air terletak bersebelahan dapur, harus melewati bilik kecil yang dikhaskan
untuk pembantu rumah. Bilik tersebut memang tidak ada penghuninya, tetapi Kartini menjadikannya
sebagai bilik persalinan. Kadang-kadang Siti lihat Kartini tidur di bilik tersebut waktu tengahari selepas
siap memasak. Bilik tersebut walaupun hanya untuk orang gaji, tetapi luas dan lengkap dengan
perabutnya. Tidak banyak beza dengan biliknya sendiri. Siti memperlahankan langkahnya. Matanya
melingas, melihat cahaya samar-samar dari celah pintu yang tidak tertutup rapat. Deru hujan
membataskan pendengaran. Tapi dia bagaikan dapat menangkap suara-suara lirihan dari arah pintu
sana.
"Kartini sudah sampai ke?"Bisik hatinya. Diletakkan bakul kain di atas lantai depan pintu. Suara
mendesah semakin jelas. Hati Siti jadi berdebar. Tangannya terketar saat menghampiri pintu. Lirihan
halus berselang seli rengekan kecil. Jelas sekali. Siti berdiri sejenak. Menatap daun pintu seketika. Dia
nekad. Pintu ditolak sekuat hati sambil mata dipejamkan. Takut pada apa yang bakal dilihat.
Dua tubuh tanpa seurat benang sedang bergelut di atas katil sana.
"Ya Allah!" Jeritan kecilnya mengejutkan tubuh yang sedang bersatu itu. Siti tergamam.
Kartini menolak tubuh Azimin yang sedang menindihnya. Dia buru-buru mencapai pakaian dan
bergegas menutup tubuhnya. Azimin pula langsung tidak bergerak. Dia terkaku dengan wajah pucat.
Siti menggeleng. Tidak sanggup dia menunggu lagi. Bakul kain tersepak oleh kakinya. Dan pakaian
basah jatuh berselerakan.
****************************************************
Biarlah apa mereka nak kata! Sudah dua hari Siti berada di sini. Memerhatikan anak-anak ikan
yang meliuk di permukaan air jernih. Anak-anak ikan yang tetap sama seperti dulu. Sama seperti waktu
dia di situ, bersama Huzair. Ah...Huzair.Terlalu lama rasanya dia tidak berpampasan dengan anak muda
itu. Menghilang teruskah dia? Tidak mahu kembali lagi ke kampung ini lagikah dia? Ahh...perlu apa dia
kembali. Tempat ini tidak punya apa-apa. Hanya anak ikan dan air sungai yang mengalir jernih. Hanya
pohon jambu yang saban hari menggugurkan daunnya yang kering. Hanya semut-semut hitam yang
berderet di celah-celah daun kering. Pun semua itu tidak mendamaikan lagi saat dia telah pergi. Huzair
tidak perlukan semua ini, cintanya telah dibawa pergi.
Biarlah emak mencarinya. Atau Shidah dan Murni yang mengejarnya. Dia bukannya ke manamana.
Dia cuma di sini. Di bawah pokok, di tepi sungai. Batu tempat dia berpijak dulu pun sudah
banyak berlumut. Sudah hijau dan berbau hamis. Kalau berdiri di situ boleh jatuh tergelincir. Jatuh
terhempas bagai hatinya saat itu.
Siti tidak tahu perasaannya. Dia tidak sedih atau kecewa. Cuma dia rasa sedikit bingung dengan
tindakannya. Tapi, apa lagi yang boleh dia lakukan? Meninggalkan rumah besar itu tanpa pesanan,
mungkin satu-satunya tindakan paling awal dia fikirkan. Cukup dengan sekeping surat, rasanya dia tidak
mahu jejak kaki lagi ke rumah itu. Hatinya tekad. Dalam hujan yang menggila itu, dia capai barangbarangnya.
Sumbat semua pakaian yang ada. Dia dengar suara Azimin memanggilnya. Tapi persetan!
Dia tidak cemburu. Dia tidak cemburu melihat Azimin mengulit perempuan itu. Tapi dia begitu geram.
Marah dan rasa terhina. Menyaksikan pelakuan munafik itu, mungkin akan menjadi salah satu perkara
jijik dalam hidupnya. Dia tidak dapat bayangkan bagaimana lelaki kotor itu harus menjadi suaminya.
Biarlah berbuih mulut emak bertanya, dia tetap dengan keputusannya. Biarlah walau kad
jemputan telah dilayang. Dia tidak akan melalui hari pernikahan tersebut. Semuanya batal!
"Tinggal dua minggu lagi, Siti....semua persiapan dah dilakukan....kad dah edar.."Mak Jah
menggeleng kepala. Sudah kering tekaknya memarahi Siti.
"Ampunkan Siti, mak...Siti tak nak!"
"Tapi kenapa?"
"Siti...."Dia terhenti. Tidak berani untuk berkata-kata lagi.
Biarlah semua orang tertanya-tanya. Semua orang membenci tindakannya. Dan walaupun dia
tahu tindakannya itu hanya akan memalit rasa malu kedua orang tuanya, tapi rasanya itu saja jalan
terbaik baginya. Biarlah orang kampung mengata. Dia lebih rela mendengar itu semua dari berhadapan
dengan lelaki dua muka itu. Tapi hari-hari melihat wajah sugul emaknya, Siti jadi tak sampai hati.
Melihat mata berkaca orang tua itu, Siti jadi bersalah yang amat sangat. Lantas suatu pagi, Siti
mendapatkan emaknya yang sedang termenung atas pangkin bawah pokok nangka. Didakapnya tubuh
tua itu sepenuh hati. Air mata luruh di pipi tua Mak Jah.
"Maafkan Mek Ti, mak....."Siti hela nafas lega, sebaik dia selesai bercerita. Terasa ringan
kepalanya setelah apa yang terpendam diluahkan. Mak Jah mengangguk lemah. "Maafkan Mek Ti kerana
malukan mak...bapak..."
"Tak Siti....Siti tak malukan siapa-siapa..."Mak Jah peluk tubuh Siti erat-erat. Dia faham. Dia
faham perasaan anaknya. Dia tidak kisah, walau berhabis wang harta, walau tebal muka dikata. Siti
tidak jadi kawin, dia sudah tidak kisah lagi. Biarlah dia sekeluarga menanggung malu seketika daripada
membiarkan Siti menderita.
*******************************
Telefon masih berdering lagi. Siti panggung kepala. Malas rasanya dia hendak mencapai gagang
telefon tersebut. Dia menutup matanya kembali. Seminggu memerap di rumah, tanpa membuat apaapa
terasa bosan juga. Petang-petang begini, kalau tak ke kebun ubi emak, dia lebih suka melelapkan
mata. Ke padang pun dia sudah jarang-jarang. Dia tidak ada semangat untuk menemui sesiapa. Dia
tidak mahu mereka terus-terusan bertanya. Bertanya tentang kisah cintanya mungkin. Ahh...cinta apa!
Matanya redup, merenung kepingan kad warna merah jambu yang tertulis cantik namanya. Kad
harum yang bertulisan perak itu, ditempah khas oleh Lisa sebulan yang lalu. Sudah habis diedarkan
kepada orang kampung. Saudara mara juga pasti telah menatapnya. Cantik. Mungkin itu pandangan
mereka. Tapi apalah gunanya. Tiap kali mendengar bapanya menelefon saudara mara seorang demi
seorang, memaklumkan pembatalan majlis tersebut, terasa bagai ingin luruh jantung Siti. Kalau boleh
biarlah dia saja yang menanggungnya. Tak sanggup rasanya menatap wajah kedua orang tuanya dan
membiarkan mereka menanggung sama.
"Bapak akan teruskan juga kenduri tu...."Pak Seman bersuara, memecah kesunyian, sewaktu
mereka sama-sama duduk di pangkin bawah pokok nangka semalam.
"Orang kampung pun dah dijemput...tak baik pulak rasanya nak batalkan macam tu ajer..."Siti
terkebil-kebil menatap wajah bapanya.
"Habis tu, macamana bang.....nak teruskan jugak?"Mak Jah mendengus. "Kita buat kenduri
aje...makan-makan, jamu orang kampung makan. Apa salahnya....macam kenduri kesyukuran tu.
Lagipun, barang-barang dapur pun banyak yang dah dibeli, kan.."Pak Seman tarik nafas panjang.
"Daripada membazir, biarlah kita bersedekah"
Siti gigit bibir sampai sakit. Hatinya menangis, siapalah yang tahu! Syukurlah kedua orang tuanya
memahami.
Deringan telefon menyentap lamunan. Masih tidak berhenti rupanya. Siti mengeluh. Dia bangun
lambat-lambat menghampiri meja telefon. Gagang telefon diangkat perlahan.
"Hello"
"Kak Siti, assalamualaikum!"Siti tersenyum tawar. Dia kenal suara itu. Lisa yang tidak jemu-jemu
menelefon. Memintanya kembali ke Kuala Lumpur.
"Lisa, ada apa?"
"Kak Siti...."Ada sendu dihujung talian.
"Kenapa Lisa?"Hati Siti berdebar.
"Kak Siti balik sini ye. Kak Mar dah meninggal...."
Gagang hampir terlepas.
********************************
Sayu hati Siti melihat Mak Ungku yang masih tidak berganjak. Air matanya terus-terusan
mengalir. Lisa di sisi memeluk erat Mamanya. Dia teresak sama. Siti berdiri agak jauh. Dia hanya
memerhatikan saja. Dalam hati dia rasa sedikit bersalah. Menurut Lisa, sebaik Siti meninggalkan rumah,
keadaan Maria semakin tenat. Dia begitu sedih dengan tindakan Siti. Bila ditanya pada Azimin, lelaki itu
pula hanya membisu. Dua hari Azimin hilang sampai Maria menghembuskan nafasnya. Dan hari ini
untuk kesekian kalinya dia berhadapan dengan lelaki itu. Hati Siti jadi panas. Ingin saja dia menampar
muka lelaki itu. Geram hatinya bukan kerana Azimin berpura-pura dengannya, tetapi kerana sikap
Azimin yang curang pada isterinya. Kesian Maria. Sampai ke mati dia tidak tahu perangai setan
suaminya itu. Dan Azimin pula masih bersikap selamba. Bukannya mahu minta maaf atau pun
menyesal. Mahu saja Siti menghebahkan nya pada semua orang. Biar satu keluarganya tahu.
Kalau ikutkan, berat hatinya untuk sama-sama menziarahi pusara itu. Dia tahu pandangan sinis
Mak Ungku dan Lisa terhadapnya. Lebih-lebih lagi renungan tajam lelaki di sisi Mak Ungku itu. Wari!
Ahh...lelaki itu telah muncul kini. Lama rasanya dia tidak menatap wajah lelaki itu. Yang kini sudah
ditumbuhi roma-roma kasar. Berceratuk di wajah yang dulu bersih. Tiada secalit senyuman pada
bibirnya, tatkala pandangan mereka bertaut. Terasa ingin pecah dada Siti menahan rasa.
Berat kakinya melangkah, namun dipaksakan juga. Tatkala menjejaki semula rumah besar
tersebut, Didi dan Fifi yang melihat terus menerpa ke arahnya. Siti peluk dan kucup kedua anak kecil
itu. Kemudian mereka sama-sama masuk ke dalam rumah.
"Saya minta maaf, Mak Ungku..."Siti capai jemari Mak Ungku. Dikucupnya lama. Mak Ungku diam,
tiada reaksi. Hati Siti hiba tiba-tiba.
"Saya tak terniat nak khianat pada Mak Ungku sekeluarga....saya..."
"Dah la tu..tak payah nak menangis-nangis pulak. "Wari menyampuk tiba-tiba. "Sekejap nak,
sekejap tak nak. Tiba-tiba je hilang macam tu ajer....sampai Kak Mar tu mati dibuatnya..."
"Wari...."Mak Ungku bersuara.
"Kalau dari dulu cakap tak nak kan senang. Tak payah Mama sibuk-sibuk nak buat ni semua. Ini,
bila semua benda dah beli, persiapan dah dibuat tiba-tiba dia cabut macam tu aje....menipu namanya tu
Ma..."Suara Wari keras. Siti geleng kepala. Nafas ditarik dalam-dalam, cuba mengawal debaran di dada.
"Saya akan pulangkan semua barang-barang...ganti rugi..."
"Tak payah. Mama sedekah aje!"Wari mendengus.
"Wari...cubalah dengar dulu apa Siti nak cakap...."Mak Ungku mengeluh, menggeleng kepala.
"Nak cakap apa lagi Ma.....dah dia tak nak kawin. Sebab perangai dia la....Kak Mar kecewa,
terkejut...terus...."
"Wari!"Suara Mak Ungku meninggi. Direnungnya Wari tajam.
"Kalau dia tak lari dari rumah hari tu, Kak Mar tak jadi macam ni,
Mama...."
"Maria meninggal bukan kerana Siti, Wari...."
"Tapi Kak Mar terus tenat bila dapat tahu Siti cabut dari rumah hari tu....hilang macam tu
ajerr....Kenapa tak jumpa Kak Mar cakap terus terang....kenapa tipu Kak Mar..."
Air mata Siti tumpah juga. Cepat-cepat disekanya. Dia tidak berani menatap wajah Wari. Rasa
malu, bersalah dan entah apa-apa lagi. Kerdilnya dirinya dirasakan saat itu. Bagai pesalah menanti
hukuman.
"Kenapa Siti keluar rumah tanpa beritahu. Semua orang cari Siti....kami betul-betul terkejut
Siti..."Mak Ungku bersuara, lembut. Siti angkat kepala. Menatap wajah Mak Ungku yang tenang tetapi
sedikit sugul.
"Ada yang tak kena ke, sampai Siti balik kampung tiba-tiba....tak bagitahu Makcik, atau Lisa..."
Siti diam.
"Siti ada masalah....cuba bagitahu Makcik..."Siti geleng kepala.
"Saya terpaksa batalkan perkahwinan saya dengan Abang Min, Mak Ungku...."
"Tapi kenapa?"Mak Ungku mengeluh. "Kenapa dulu Siti terima, sekarang Siti batalkan pula? Ada
apa-apa yang tak kena ke?"
"Tak ada apa-apa Mak Ungku. Saya yang berubah fikiran...."
"Uh...senang-senang je ubah fikiran. Dia ingat kerja kawin ni kerja main-main...boleh buat dan
batal sesuka hati?"Wari menyampuk. Dia bangun, meluru ke luar. Langkahnya pantas, tidak menoleh
lagi. Mak Ungku menggeleng.
"Siti ada masalah dengan Azimin ke?"Siti geleng lagi. "Mak cik tanyakan Azimin, dia kata tak ada
apa-apa pula...." Memanglah tak ada apa-apa. Mana lelaki itu nak mengaku! Mahu saja Siti
buka mulut tentang kecurangan Azimin dengan Kartini. Kartini! Mata Siti melingas. Sejak di tanah
perkuburan tadi Siti tidak nampak pula kelibat wanita seberang itu. Sudah berhenti kerjakah dia? Atau
sengaja tidak mahu menonjolkan diri? Takut kisahnya didedahkan? Kenapa Azimin melayan perempuan
itu? Tidak cukupkah keizinan Maria untuk berkahwin lain, sampai dia perlu melalui pintu belakang
begitu? Ah...Azimin, wajah kacak itu penuh dengan kepuraan.Kalaulah Maria tahu! Tapi Maria pun sudah
tiada. Sudah pergi membawa penderitaannya. Dan kini, dia yang menanggung segala-galanya. Bukan
niatnya untuk menyeksa Maria begitu. Dia tidak tahu ajal Maria akan sampai selepas dia keluar dari
rumah itu. Bukan dia penyebabnya!
"Kalau ada masalah...cerita pada makcik.....jangan pendamkan Siti...."Mak Ungku elus rambut
Siti.
"Siti cuma harap Mak Ungku sekeluarga tak salahkan Siti atas kematian Kak Mar..."
"Siti, makcik tak pernah beranggapan begitu. Maria meninggal kerana ajalnya sudah sampai.
Siapa-siapa tak boleh pertikaikan. Cuma makcik nak tahu, kenapa Siti tiba-tiba batalkan pernikahan
dengan Azimin. Siti kan tahu, Didi dan Fifi perlukan kasih sayang seorang ibu."Suara Mak Ungku begitu
lembut.
"Siti tak dapat nak tunaikan permintaan itu. Siti minta maaf..."
"Tapi kenapa Siti?"Mak Ungku menghela nafas.
"Errr....Siti belum bersedia untuk kawin...."Siti menggeleng.
Wari dihujung pintu, menjuih bibir. Sakit betul hatinya pada gadis itu!
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 20 (Finale)
Dia sakit hati. Sakit hati melihat wajah gadis itu. Tapi dia bukan membenci. Tidak. Sesekali tidak
pernah terlintas rasa benci dalam hatinya. Walaupun Siti telah pernah melukakan hatinya. Dia sakit hati
kerana setelah susah payah dia mengubat luka, tiba-tiba pula Siti membatalkan hasratnya. Kenapa tidak
dari dulu lagi dia menolaknya? Kenapa setelah dia hampir putus asa, benar-benar kecewa, gadis itu
bertukar fikiran tiba-tiba dan membatalkan perkahwinannya. Kenapa Siti perlu menyakiti hatinya
dengan berdolak dalih begitu. Bukankah mudah kiranya dia menolak perkahwinan itu dari awal-awal
lagi. Banyak perkara dapat dielakkan. Dan mungkin Maria dapat diselamatkan. Mungkin Maria tidak
akan kecewa. Tapi............ahh...kematian Maria bukan disebabkan Siti. Tak patut dia menyalahkan
gadis itu begitu. Tetapi tindakan Siti telah meninggalkan kesan yang tersendiri.
Wari sendiri tidak tahu apa muslihat Siti, menerima kemudian menolaknya. Seolah perkahwinan
itu satu permainan. Atau hatinya tidak pernah tetap pada keputusan. Cintanya boleh berubah dalam
sekelip mata? Atau dia sengaja mempermainkan Maria, Mama ataupun Azimin? Kesian Mama, yang
terpaksa menanggung malu. Nasib baik kad masih belum diedar lagi. Sebetulnya Mama memang ingin
melakukan upacara pernikahan itu secara kecil-kecilan kerana ia merupakan pernikahan kali kedua
Azimin, tetapi pastinya perkara seperti itu juga telah dihebahkan kepada rakan-rakan atau saudara
mara terdekat. Jadi, bagaimana harus mereka sekeluarga menghadapi semua itu. Dan satu lagi yang
menjengkelkan Wari. Sikap Azimin sendiri. Kalau dulu, dia yang beriya-iya, bersetuju untuk mengahwini
Siti. Tetapi kini, hanya berdiam diri. Langsung tidak menghalang keputusan Siti. Malah, bila ditanya, dia
seolah cuba mengelak diri. Apa yang terjadi antara mereka sebenarnya?
Wari jadi bingung sendiri. Walaupun dalam hati dia sedikit lega kerana akhirnya Siti tidak menjadi
milik Azimin, tetapi dalam masa yang sama dia juga sebal dengan sikap Siti yang tidak menentu itu. Dia
kecewa kerana Maria telah pergi. Tanggungjawab yang besar kini tertanggung di bahunya. Untuk
menguruskan keluarga, lebih-lebih lagi syarikat arwah bapanya. Semuanya dalam sekelip mata
berpindah kepadanya. Kalau dulu, semasa Maria terlantar dia masih mengharap agar Maria sembuh dan
meneruskan usahanya mengembangkan syarikat. Tetapi kini, tiada siapa lagi yang boleh diharapkan
selain darinya. Azimin pula, kedudukannya samar-samar. Setelah Maria meninggal, Wari tidak tahu
kedudukan Azimin. Adakah dia masih berhak menguruskan syarikat itu, sedangkan setahu Wari, Azimin
tidak punya apa-apa saham di dalam syarikat, selain dari ihsan Maria yang memberi jawatan selesa
kepada suaminya itu. Walaupun ikatan kekeluargaan mereka tidak akan putus kerana Azimin tetap
abang iparnya, Fifi dan Didi tetap anak saudaranya walaupun suatu hari nanti anak-anak kecil itu akan
memperoleh ibu baru. Dan Wari tahu, bukan Siti yang akan mengambil tempat itu.
*****************************
"Siti nak ke mana ni? " Mak Jah cepat-cepat menghampiri Siti yang sedang menyarung selipar.
"Mek Ti nak pergi rumah Shidah, Mak. "Siti angkat muka.
"Mek Ti nak tidur kat sana"
"Kenapa nak tidur kat sana pulak. Tidur je la kat rumah. Mak Ngah baru sampai tu..."Siti tarik
nafas panjang. Tangannya mengepit beg plastik warna hitam.
"Siti tak nak la duduk rumah, Mak. Nanti macam-macam diorang tanya. Apa Siti nak jawab?"Balas
Siti perlahan.
Mak Jah mengeluh. Mulutnya sendiri dah berbuih memberi alasan. Setiap pertanyaan yang
singgah di cuping telinga, bagai api yang membakar. Kadang-kadang mahu saja dia berteriak satu
rumah. Memberitahu semua orang yang pernikahan anaknya tidak akan berlangsung. Sudah dibatalkan
Dan kenduri tersebut hanyalah kenduri kesyukuran, sementelah kad pun sudah dilayang. Jadi hendak
tak hendak, segan tak segan, ia tetap diteruskan. Biarlah orang mengata. Dia sudah tua. Telinganya
sudah lali dengan umpat keji orang. Tapi anaknya itu! Siti manalah biasa dengan keadaan ini. Hatinya
masih rapuh. Kesian anak itu terpaksa menghadapi keadaan seperti ini. Biarlah dia membawa diri. Mak
Jah sendiri jadi serba salah. Sejak orang ramai datang ke rumah, Siti lebih banyak memerap di bilik.
Hendak keluar pun segan-segan. Takut kalau-kalau orang sibuk bertanya tentang bakal suaminya yang
tak jadi datang itu. Orang mana, kerja apa. Mak Jah sendiri terkial-kial hendak menjawab. Bukankah
sudah dibatalkan. Kenapa mesti sibuk bertanya, memanjang-manjangkan cerita. Kalau diikutkan, mahu
saja Mak Jah cili mulut orang yang tak penat-penat bertanya. Dijemput sudah dikira untung. Hormatlah
tuan rumah sedikit! Mak Jah mendengus.
"Boleh tak mak?"Siti goncang tangan Mak Jah. Mak Jah tersedar. "Emm....pergilah...tapi pagi esok
balik cepat..."Mak Jah membalas. Dia tersenyum tawar. Melihat Siti yang mula melangkah. "Kalau ada
apa-apa, mak telefonlah rumah Shidah ye!"Siti menoleh sebelum meneruskan langkah. Dia susup sasap
di bawah pokok rambutan. Sengaja dia melalui jalan singkat belakang rumah. Jalan tersebut kecil,
bersemak tetapi terlindung dari pandangan luar. Dia tidak mahu melalui jalan biasa. Dia segan kalau
terserempak orang-orang kampung yang pastinya akan bertanya tentang dirinya. Tentang perkahwinan
nya. Kalau boleh esok, pada hari kenduri tersebut dia tak mahu menjenguk muka. Biarlah orang tuanya
saja yang menguruskan. Dia lebih rela memencilkan diri dari berdepan dengan orang ramai yang pasti
akan mempertikaikan keputusannya.
10 minit meredah semak, Siti sampai di atas bukit. Di bawah sana, padang hijau yang terbentang,
masih seperti dulu. Siti lihat Shidah sedang menopang dagu di bawah pokok saga tepi padang.
Pandangannya asyik ke tengah padang. Melihat tubuh-tubuh yang terkinja-kinja di sana. Angin petang
yang nyaman, menggugurkan daun-daun saga,dan biji-biji merah berselerakan bawah pokok. Siti
melajukan langkah.
"Lambat la kau!"Shidah menoleh, menyedari kedatangan Siti. "Aku keluar senyap-senyap. Takut
orang nampak.."Balas Siti perlahan lalu melabuhkan punggung di sebelah Shidah. Beg plastik di letak
tepi akar yang berbonjol. "Kenapa keluar senyap-senyap? Mak kau tahu, tak?"Shidah mengerut dahi.
Siti angguk kepala.
"Mak aku tahu. Tapi rumah aku tu dah ramai orang. Tu yang aku curi-curi keluar...kalau tak nanti
diorang banyak tanya.."
"Siapa je kat rumah kau tu..?"
"Sedara mara belah mak aku dah datang. Jiran-jiran sebelah pun ada. Diorang rewang kopek
bawang. Aku rimaslah Shidah....aku rasa semua mata macam tertumpu kat aku...pandang sinis kat
aku...."Siti tarik nafas panjang. Shidah menggeleng.
"Perasaan kau aje kot...."
"Tak...aku tahu...diorang mesti cakap bukan-bukan pasal aku.."
"Pedulikan je laa....."
"Aku kesian kat mak bapak aku tu....mesti diorang malu. Habis, bapak aku tu nak teruskan jugak
kenduri ni...aku kenalah ikut..."Siti melemparkan pandangan ke tengah padang. Sinar matahari hampir
jatuh. Bayang pokok saga nampak memanjang. Redup.
"Kesian kau, Mek Ti..."Shidah renung wajah Siti lama.
"Dah nasib aku..."
"Tapi...aku sokong tindakan kau tu. Kalau aku jadi kau...aku pun tak nak kawin dengan lelaki
tu..."Siti tersenyum tawar. Dia sedikit gembira kerana Shidah dan Murni tidak menyalahkan tindakannya
setelah dia menceritakan perkara sebenar. Dia tahu, dia tidak boleh mengelak dari dua kawannya itu.
Lambat laun dia akan terpaksa menceritakannya juga. Dan dia bersyukur kerana kedua mereka
memahami. Biarlah orang lain tidak memahaminya asalkan Shidah dan Murni tahu keadaannya.
"Kau sedih Mek Ti?"
"Emm....entah!"Siti ketawa kecil. Shidah ketawa sama. Dia bangun, mengibas-ngibas punggung.
"Jom, balik rumah aku. Malam ni kita buat kek lapis yang kau nak belajar buat tu"Siti mendongak.
Dia menghulurkan tangannya lalu disambut Shidah. Bersungguh Shidah cuba menarik Siti bangun.
Akhirnya mereka ketawa sama.
"Alamak Mek Ti, aku lupa nak bagitahu kau...."Shidah kebam bibir. Matanya mengecil,
memandang Siti.
"Kenapa?"
"Emm...aku lupa nak bagitahu...mamat tu balik sini mlm tadi...."Shidah sengih.
"Siapa?"
"Tuu...."Shidah memuncungkan bibir. Siti berpaling ke belakang. Senyuman terukir di ulas bibir
lelaki itu. Siti membulatkan mata.
Huzair!
******************************************************************
"Aku dengar, kau nak kawin?"Siti masih berdiam. Cuma tangannya saja yang ligat mencarik daundaun
hijau di sekelilingnya. Pandangannya menunduk. Tak sanggup dia menentang wajah lelaki itu.
Tidak disangka, setelah terpisah beberapa ketika, dia masih ada peluang menatap wajah lelaki itu.
Sangkanya Huzair tidak akan kembali lagi ke kampung.
"Aku ada dapat kad jemputan kau.."
"Ahhhh...."Siti mendengus. Dia benci untuk terus mengulang ayat-ayat itu. Dia malas untuk
menyatakannya lagi. Pernikahannya telah batal. Batal!
"Kenapa Mek Ti?"Huzair mendekat.
"Tak ada apa-apa..."Siti menggeleng.
"Tahniah dari aku.."Huzair hulur tangan. Siti mendongak, menentang pandangan Huzair. Dia tidak
menyambut huluran tangan itu. Untuk apa? Dia tidak akan berkahwin dengan siapa-siapa. Tidakkah
Huzair tahu itu?
"Aku balik ni sebab nak tengok kau bersanding. Nenek yang bagitahu aku. Aku sebenarnya segan
juga nak jumpa kau ni. Mana tahu kau tak sudi..."Huzair tersengih.
"Maafkan aku Zair, sebab lari dari kau dulu..."Siti mengeluh. Dia rasa segan. Tak patut dia buat
Huzair begitu. Pergi tanpa jawapan. Mungkin ini balasan yang diperoleh akibat mengecewakan hati
orang.
Huzair menyandarkan belakang badannya ke pokok jambu. Dia berpeluk tubuh. Matanya masih
tancap. Merenung Siti penuh makna. Siti akui lelaki itu sudah banyak berubah. Dia tampak dewasa kini.
Terserlah pada rona wajahnya itu.
"Aku tahu, cinta tak boleh dipaksa. Cinta jangan dicari. Lambat laun ia akan sampai sendiri. Suatu
masa dulu aku yakin cinta yang aku cari telah hadir pada diri ini..tetapi.."Dia menarik nafas, terhenti
seketika.
"Aku terlalu mentah untuk menilai cinta. Cinta itu terlalu muda, dan akhirnya aku
kehilangannya..."
Siti kertap bibir. Dia jadi tidak keruan. Adakah Huzair memperkatakan tentang dirinya? Tentang
cintanya yang tidak kesampaian?
"Aku kecewa kau pergi tinggalkan aku dulu..."Suara Huzair mengendur.
"Maafkan aku Zair.."Lirih Siti. Pandangan mereka bertaut. Siti jadi serba salah. Bersalah kerana
menolak Huzair dulu.
"Tapi aku gembira juga akhirnya kau jumpa orang yang kau cinta.."Siti tersenyum tawar. Dia rasa
seperti ingin menangis. Kalaulah Huzair tahu hal sebenar!
"Lepas ni, kau tinggal di mana. KL?" Siti tidak menjawab. Dia biarkan saja Huzair terusan
bertanya.
"Kalau di KL, bolehlah kita berjumpa..."Huzair ketawa kecil. "Tapi masa tu kau dah jadi kepunyaan
orang lain. Tentu payahkan...."
"Zair..sudahlah..jangan cakap macam tu. Apa-apa yang terjadi pun, kita tetap kawan...."Siti
mendongak, menentang mata Huzair.
"Ya, sebab aku ingat kawan lah..aku datang hari ni untuk jumpa kau.."
"Terima kasih!"
"Aku nak jumpa bakal suami kau nanti...."
"Untuk apa?"
"Untuk ucapkan tahniah...."
"Zair...."Siti menggeleng, dia mendekati Huzair.
"Datanglah rumah aku esok. Kau akan tahu perkara sebenarnya.."
"Memang aku nak datang"Huzair tersenyum.
"Dan bersyukurlah kalau kau dapat jumpa aku masa tu.."
"Kenapa kau cakap macam tu?"
Siti mengeluh. Dia mengundur beberapa langkah ke belakang. Sukarnya untuk meluahkan
perasaan, apatah lagi membuat keputusan. Dia sendiri tidak tahu adakah dia kuat untuk menghadapi
hari esok. Kenduri pernikahannya yang hanya atas nama! Kalau boleh, dia ingin lari saja.Lari sekali lagi,
kali ini dari semua orang. Biarlah...mungkin dia tidak layak mencintai atau dicintai sesiapa. Cintanya
bukan cinta biasa mungkin!
******************************************************
"Mama! "Wari masukkan beg ke dalam kereta. "Sempat lagi tak ni, Ma?"
"Ya Allah Wari...kenapa kelam kabut sangat ni?"Mak Ungku menggeleng kepala. Dihulurkan
begnya kepada Wari. Wari menarik pantas lalu dicampakkan ke dalam bonet kereta.
"Bawak-bawak la bersabar sikit...."Mak Ungku merungut.
"Takut tak sempat, Mama..."Balas Wari.
"Entah Acik ni....kalut la.."Lisa memuncung. Dia bercekak pinggang, memerhatikan gelagat
abangnya. "Baru pukul berapa ni...sempat lagi laa..."
"Dah Lisa...cepat masuk kereta...."Wari mengeluarkan rokok, dikepitkan di dua bibir.
"Kejap haa..orang nak masukkan barang-barang ni laaa..."Lisa mendengus. Dia masuk semula ke
dalam rumah sambil merungut-rungut. Mak Ungku menggeleng, sedang Wari sudah pun enak
menghembus asap. Ada sedikit kepuasan pada wajah itu. Dia mengepal-ngepal penumbuknya.
Melihat sendi jemarinya yang sedikit kemerah-merahan. Peristiwa semalam masih jelas di ruang
matanya. Saat penumbuknya jatuh bertubi-tubi di muka Azimin. Dia sudah tidak dapat kawal diri saat
itu. Kalaulah tidak kerana Pak Amin datang menghalang, rasanya pecah muka Azimin dikerjakannya.
Walau lembam dan sengal-sengal jemarinya, tetapi dia puas. Puas kerana akhirnya sisa kemarahannya
dilepaskan kepada orang yang sepatutnya.
Dia ingat airmata Mama yang mengalir tatkala melihat Azimin tersembam dengan cairan darah di
muka. Tersengguk-sengguk orang tua itu menahan sebak melihat menantunya itu terkial-kial untuk
bangun. Azimin yang bersandar di dinding, mengesat darah yang keluar dari hujung hidung. Ditatapnya
Wari dengan pandangan tajam. Ada kemarahan yang tersemat, tapi dia tidak mampu berbuat apa.
Tubuhnya longlai benar. Kepalanya berpinar dan rasa panas membuak seluruh badan. Azimin rasa bagai
ingin pitam.
"Apa yang dah jadi ni, Wari?"Terjerit Mak Ungku melihat adegan tadi. Dia mendengar keriuhan di
bawah tadi. Cepat-cepat dia panggil Lisa untuk memapahnya turun. "Apa yang kau dah buat ni?" Wari
mendengus. Dia memandang Azimin yang terkapar. Kemudian beralih kepada Pak Amin yang mengurut
dada. Lisa di sisi Mak Ungku menekup mulut.
"Wari...apa yang kau dah buat ni..."Mak Ungku tersedu. Baru berapa hari Maria meninggal,
keadaan dah menjadi kucar kacir.
"Mama jangan tanya saya, tanya jantan ni!"Wari mendengus.Dia menghela nafas panjang.
Tenaganya banyak terbuang tadi.
"Kenapa Azimin...Wari..kenapa gaduh macam ni..?'
Azimin mendengus. Diseka hidungnya yang berair sekali lagi. Terkial-kial dia ingin bangun, tetapi
akhirnya kembali bersandar di dinding. Rasa geram pada Wari begitu membuak. Tapi, apa yang boleh
dia buat. Kalau tak kerana perempuan Indon tu, tak akan dia jadi begini. Kurang ajar Kartini!
"Saya dah tahu Mama...."Wari bersuara keras. Mak Ungku mendongak, menatap wajah Wari yang
basah. "Saya tahu kenapa Siti tak nak kawin dengan jantan ni.."
"Wari..kenapa cakap kurang ajar macam tu..."
"Memang patut Ma!"Wari jerit kecil. "Jantan ni la yang menyebabkan Kak Mar terseksa, sampai
meninggal dibuatnya.."
"Astagfirullah al azim.....apa yang Wari cakap ni?"Mak Ungku menolak kerusi rodanya.
"Saya tak nak cakap!"Wari masuk ke dapur, datang kembali sambil menarik tangan Kartini. Kartini
yang teresak sambil menutup muka."Biar perempuan ni yang cakap!"
Mak Ungku memandang Kartini penuh tanda tanya. Lisa di sebelah juga sedikit terkejut. Apa
kaitan perkara ini dengan Kartini? Kenapa Kartini menangis begitu?
"Biar dia yang bagitahu.."Wari menarik kerusi, duduk dengan nafas mengah. Dia memandang
Kartini, menanti wanita itu membuka mulut. Kartini masih tersedu. Sudah banyak airmatanya yang
keluar mungkin. Dia melihat semua kejadian tadi. Dia melihat Azimin yang dipukul bertubi-tubi. Dia
tidak sangka Wari akan naik berang begitu.
"Kartini, cakaplah apa yang awak cakap pada saya pagi tadi.."Suara Wari mengendur. Dadanya
kembali tenang kini. Kartini mengangkat muka. Matanya yang merah berair memandang Wari.
Kemudian kepada Mak Ungku. Bila beralih kepada Azimin, dia mencebik dan manik jernih meluncur lagi.
"Saya....saya...sama Azimin.."Dia teragak-agak. Tidak berani dia memandang Mak Ungku.
"Kenapa kamu dan Azimin?"Mak Ungku tidak sabar.
"Azimin.... sama saya!"Kartini menekup muka. Azimin gelisah. Kalau boleh ingin saja dia
menampar mulut Kartini. Tidak pandai simpan rahsia!
"Maksud kamu?"
"Kami....berselingkuh!"Mak Ungku terdiam. Matanya saja yang terkebil-kebil memandang Kartini.
"Sudah lama...sejak Azimin pindah ke mari. Saya sama sekali tidak keberatan bu!.."
"Astagfirullah al azim...."Mak Ungku tersandar di kerusi roda. Dia mengurut-mengurut dadanya.
Wajahnya sebak, sambil menggeleng kepala dia memandang Azimin yang menunduk.
"Ya Allah Azimin...."Mak Ungku menyeka matanya yang berair. Tak disangka menantu yang paling
diharap, yang selama ini bersopan, melayan Maria dengan penuh kasih sayang, rupanya berbeza
perangai di belakang. Sukar bagi dia untuk mempercayai.
"Kenapa selama ini kamu berdiam. Kenapa sekarang baru kamu ceritakan? Kerana Maria sudah
meninggal?"Mak Ungku sedikit kesal.
"Tidak.."Kartini menggeleng. "Saya takut bu...saya sangka Azimin akan menikahi saya....tapi dia
nggak mau...saya takut...lagi pula saya sudah......"
"Sudah apa?"
"Saya sudah hamil, bu!"Kartini mula menangis lagi."Saya mahu Azimin nikahi saya...tapi dia
nggak mahu....maka saya nekad beritahu Wari...saya tahu dia cinta sama Siti. Siti tak bersalah bu!"
Azimin bangun serta merta. Wajahnya memerah.
"Mama jangan percaya cakap dia ni Ma, dia tak mengandung!!"Azimin bersuara keras.
"Benar bu, saya sudah 2 bulan tidak datang bulan...saya takut..."Kartini melutut depan Mak
Ungku. Dia teresak-esak di situ.
"Masa buat, kamu tak takut?"Jengil Mak Ungku. Semakin kuat esakan Kartini.
"Saya salah bu..ampunkan saya..."Suaranya tenggelam timbul. Azimin menghampiri Kartini.Cuba
menarik tangan wanita itu. Kartini mengesot ke arah Mak Ungku.
"Azimin..."Mak Ungku bersuara. "Betul apa yang Kartini cakap?
Azimin diam. Dia menunduk, wajah penuh kekeruhan. Tapi untuk menafikan, dia tidak punya
alasan. Sedangkan Siti sendiri telah menyaksikan kecurangannya. Dan Maria juga telah mengetahuinya.
Ahhh..Maria mati kerana dia. Dia yang menyeksa hidup isterinya itu. Tapi dia sendiri tidak mampu
mengawal dirinya. Kartini terlalu menggodanya. Tidak perlu banyak rintangan atau wang, Kartini sendiri
rela menyerahkan. Dan dia yang telah lama kehausan, sukar untuk menolaknya. Dia perlu
melampiaskan keinginan batinnya. Dia tahu dengan Siti dia tidak akan peroleh itu. Siti gadis yang baik
dan dia ingin mengahwininya. Tapi dalam masa yang sama dia tidak dapat menghindari Kartini. Dia
memang kecewa kerana Siti telah melihat perbuatannya, dan akhirnya dia kehilangan gadis itu.
"Azimin....., Mama nak kamu bertanggungjawab atas perkara ini. Kamu mesti nikah dengan
Kartini. Kerana dia sedang mengandungkan anak kamu. Mama memang kecewa sekali dengan sikap
kamu ni. Kamu curang pada Maria!"Mak Ungku terhenti. Cuba mengawal nada suaranya.
"Mama masih boleh terima kamu kerana kamu bapa kepada cucu-cucu Mama. Kalau tidak kerana
Didi dan Fifi, Mama dah halau kamu....."
"Ma...."Azimin mengeluh.
Wari puas hati. Dia sudah tahu kini, kenapa Azimin hanya berdiam diri bila Siti lari. Dia tidak
langsung mengambil tindakan apa-apa. Kerana semuanya berpunca dari dirinya sendiri. Mana mungkin
dia boleh memaksa Siti mengahwininya sedangkan dia manusia kotor. Yang hanya memuaskan
nafsu sendiri. Tak mungkin Siti menjadi milik orang seperti itu. Wari percaya, Siti sengaja tidak mahu
menghebahkannya. Dia tidak mahu menjatuhkan maruah Azimin. Tapi kenapa? Kenapa Siti tidak
berterus terang kepada mereka. Kenapa sanggup menerima kemarahan orang lain semata-mata untuk
melindungi manusia yang tidak berhati perut seperti Azimin? Atau hati gadis itu terlalu lembut sampai
tidak sanggup melukakan hati orang lain? Kecewakah Siti bila mengetahui sikap sebenar Azimin?
Ahh...pastinya Siti lebih kecewa lagi dengan sikap aku ini. Yang membuta tuli menuduh dan
memarahinya. Menyalahkan dia atas kematian Maria. Ah, Siti, maafkan aku...kerana berkasar
denganmu. Kalaulah aku dapat temui kau sekarang juga...
"Acik, acik! cepatlah!"Didi dan Fifi menjerit dari dalam kereta. Rimas mereka menunggu dari tadi.
Wari tergegau. Rokok di tangan di baling ke tanah lalu ditenyeh dengan kasut. Dia memandang ke pintu
yang masih terbuka. Cepat-cepat dia masuk ke dalam kereta. Bayang Siti menerjah mindanya. Tak
sabar hendak menemui dia! Wari senyum dalam hati.
***********************************************
Siti sudah membaringkan tubuhnya di atas tilam. Dia bergolek ke kanan. Shidah masih belum
kelihatan. Rasanya Shidah masih menonton tv kerana malam masih awal lagi. Belum pun jam sepuluh.
Tapi Siti tidak larat lagi melayan matanya. Fikirannya kusut. Dia terkenangkan esok hari, yang terpaksa
dia lalui. Bagaimanakah keadaannya nanti? Berjalan lancarkan segalanya. Bagaimanakah tanggapan
orang ramai terhadap keluarganya? Akan terkeluarkah kata-kata cemuhan atau tohmahan-tohmahan
liar atas pembatalan pernikahan itu?Dan sanggupkah keluarganya menghadapi semua itu?
Ahhhh...bapanya pun silap. Kenapa mesti diteruskan juga majlis tersebut. Batalkan saja dan
mereka boleh lari ke Kuala Lumpur esok hari. Bila keadaan reda nanti, mereka boleh kembali lagi. Tak
payahlah mereka menjawab setiap pertanyaan nanti. Tapi, bapak orang lama di kampung ini. Tak patut
dia lepas tangan begitu. Lagipun bukan salah bapak. Bukan kehendak keluarganya. Mereka mangsa
keadaan, kalaupun bukan mangsa Azimin yang menconteng arang. Sampai hati Azimin bersikap dusta
begitu. Kenapa dia tidak berterus terang tentang perbuatannya dengan Kartini dulu-dulu. Kenapa mesti
bersetuju berkahwin sedangkan nafsunya untuk orang lain. Sia-sia pengorbanannya selama ini.
Mengorbankan kasihnya pada Wari untuk memenuhi permintaan orang lain. Memenuhi hasrat Maria.
Dan Maria sendiri tidak sempat menyaksikan hasil pengorbanannya itu. Benarkah Maria meninggal
kerana perbuatannnya? Ahh....tak mungkin!
Siti menarik selimut menutupi sebahagian tubuh. Dia merenung zink rumah yang ada lubanglubang
halus. Sudah ada yang berkarat, dan sawang putih memenuhi kayu bestos yang dijadikan alang
rumah. Sama seperti zink rumahnya. Dan orang-orang kampung yang lain. Jauh bezanya dengan
rumah-rumah di bandar sana. Terutama rumah Mak Ungku.Ahhh...rumah besar itu, tidak akan dijejaki
lagi. Tidak akan dilihat lagi taman bunga yang redup itu, air kolam yang merenek di bawah pancaran
mentari, silingnya yang berukiran halus, dan manusia-manusia yang mendiaminya. Rindunya pada
mereka masih berbekas. Pada Lisa yang keletah, pada Fifi dan Didi yang nakal, pada Mak Ungku yang
baik hati dan....pada lelaki itu! Biarlah apa pun tanggapan mereka terhadap dirinya, dia akan tetap
rindu pada mereka.
Siti mendengar derap langkah di luar sana. Dia menoleh ke arah pintu yang tidak tertutup, hanya
dibatasi dengan langsir. Shidah terjengul, wajah agak cemas.
"Siti, jom turun bawah jap!"Shidah berdiri tepi pintu.
"Ada apa?"
"Mak kau ada kat bawah tu.."
"Hah?"Siti bangun serta merta. Dia bergegas turun dari katil.
"Mak aku? ada apa dia datang. Aku cakap tadi kalau ada apa-apa hal telefon aje..."Gerutu Siti.
Risau juga dia dalam hati. Mesti ada kecemasan. ataupun dia perlu pulang ke rumah semula.
"Aku pun terkejut tengok mak kau datang tadi. Mak aku pun tak balik lagi dari rumah
kau...."Mereka menuruni tangga. Siti menerjah ke beranda rumah. Dia melihat emaknya ada di situ.
Bapanya pun ada sekali. Hati Siti jadi berdebar.
"Mak?"Sapa Siti, mendapatkan Mak Jah. Pandangannya beralih ke laman rumah. Sebuah kereta
tersergam di situ, dan Siti kenal benar kereta itu.
"Kak Siti!"Didi dan Fifi menerpa ke arah Siti. Siti terkejut. Dia tegak berdiri memandang Didi dan
Fifi yang berlari ke arahnya. Anak-anak kecil itu memaut pinggangnya erat. Siti gamam.
"Kak Siti, naper tak balik umah kita lagi?"Didi mendongak, menggoncang tangan Siti. Siti terharu.
Dia rasa seperti ingin menangis. Diusapnya kepala Didi.
"Kak Siti tak boleh balik sana. Rumah Kak Siti kat sini..."Balas Siti perlahan. Dia menjeling ke
dalam kereta. Mak Ungku sudah turun, sambil dipimpin Lisa. Dan lelaki yang duduk di bahagian
pemandu itu, sedang merenung tajam ke arahnya. Siti cepat-cepat alih pandangan.
"Mak Ungku.."Siti memeluk Mak Ungku. Dan Siti rasakan Mak Ungku membalasnya dengan erat.
Bahu Siti jadi panas. Ada cairan menitis di bahunya. "Mak Ungku apa khabar?"
"Mak Ungku baik, Siti"Pelukan dilepaskan. Siti masih bingung dan tidak percaya dengan kehadiran
mereka. Apa yang menyebabkan mereka datang ke sini, pada malam-malam buta begini. Adakah
Azimin yang menyuruhnya? Tapi dia tidak melihat kelibat Azimin di dalam kereta. "Masuklah Mak
Ungku...."Siti pimpin tangan Mak Ungku. Tapi Mak Ungku tidak berganjak. "Kenapa Mak Ungku?"Siti
sedikit terkejut.
"Siti, ada orang yang benar-benar ingin berjumpa Siti...biarlah Siti jumpa dia dulu ye...."Mak
Ungku senyum."Nanti kita borak panjang.."
"Siapa?"
"Pergilah..."Mak Ungku menunjuk arah kereta. Wari baru saja menutup pintu. Pandangannya jatuh
ke wajah Siti. Siti jadi serba salah.
"Makcik masuk dalam dulu...."Mak Ungku berjalan ke dalam rumah. Diikuti Lisa, emak dan
bapanya. Tinggal Siti saja, dan Wari yang sedang melangkah ke arahnya. Nasib baik ada Didi dan Fifi.
Walaupun mereka tidak tahu apa-apa, sekurang-kurangnya ia dapat meredakan debaran Siti. Entah
kenapa, hatinya betul-betul tidak keruan. Dia jadi takut berhadapan dengan lelaki itu. Apalah yang
hendak dia marahkan lagi. Mungkin Wari masih beranggapan dialah penyebab kematian Maria. Kalau
itulah tujuan dia datang ke sini dia lebih sanggup tidur dari berjumpa dengan lelaki ini.
"Siti..."Wari berhenti betul-betul di depan Siti. Degup nafasnya bagaikan terdengar.
"Mesti Siti terkejut saya datang malam-malam begini. Maafkan saya..."Suaranya perlahan, sedikit
bergetar. Siti masih diam.
"Saya nak minta maaf pada Siti atas sikap saya tempohari. Saya berkasar pada Siti, dan saya
tahu saya tak patut buat macam tu.."Ada nada kekesalan pada suara itu. Siti mendongak dan
pandangan mereka bertaut.
"Saya dah tahu perkara sebenar...."
"Maksud awak?"Wari menarik nafas.
"Tentang Azimin dan Kartini...."Siti sedikit terkejut.
"Bagaimana awak tahu?"
"Kartini telah ceritakan semuanya...."
"Pelik...kenapa Kartini ceritakan semua ni..."
"Mereka akan bernikah tak lama lagi...."
"Azimin dan Kartini?"Wari angguk. Ada senyuman pada bibirnya.
"Kartini minta maaf pada Siti.....dia rasa bersalah..sebab itu dia ceritakan hal sebenar.."
"Baguslah kalau mereka akan bernikah....ada orang yang akan jaga Didi dan Fifi...."Siti tersenyum
nipis, lalu menarik sebuah kerusi. Dia menoleh sekilas ke dalam rumah. Agak rancak perbualan Mak
Ungku dan ibubapanya. Apalah yang mereka borakkan, hati Siti tertanya-tanya. Sengaja tinggalkan aku
sorang-sorang dengan lelaki ni!
"Tapi, kalau boleh, saya nak Siti yang jaga Didi dan Fifi" Wari datang mendekat. Duduk di hadapan
Siti.
"Gila! Biarlah Kartini yang jaga. Takkan awak nak hantar Didi dan Fifi ke kampung ni, suruh saya
jaga pulak...."Siti tarik muka. Wari tersengih.
"Tak....bukan Didi dan Fifi yang datang sini, tapi awak yang duduk kat rumah saya.."
"Oh, awak nak saya jadi orang gaji Azimin pulak?" Siti jengil mata.
Wari tidak mampu bersabar lagi. Ditariknya tangan Siti lalu digenggam erat. Siti terkejut, cuba
menarik kembali tangannya. Takut kalau-kalau dilihat ibubapanya.Tapi genggaman jemari Wari terasa
erat, seperti tidak mahu dilepaskan.
"Siti, saya nak awak balik semula ke KL. Tinggal bersama saya. Jadi milik saya!"Wari dekatkan
wajahnya ke wajah Siti. Siti jadi makin tidak keruan. Mampus aku, kalau mak nampak!
"Wari, janganlah macam ni...."
"Siti, dengar sini. Saya bersalah marahkan awak hari tu. Tapi saya rasa marah sangat sebab awak
telah kecewakan saya. Awak tolak saya semata-mata untuk puaskan hati orang lain. Saya tahu awak
tak cintakan
Azimin..."
"Mana awak tahu?"
"Saya tahu cinta awak pada orang lain....."Wari menghela nafas. "Pada saya..." Siti terdiam. Dia
menunduk.
"Jadi milik saya?"Wari mengerutkan wajahnya.
"Semuanya dah terlambat, Wari.."
"Belum...belum terlambat. Saya percaya jodoh kita ada. Awak sayangkan saya, bukan?"Siti diam.
Dia tidak tahu untuk berkata apa. Kalaulah dia katakan semua itu benar!
"Kita nikah esok!" Siti serta merta bangun. Genggaman terlepas.
"Awak dah gila!"
"Saya tak gila Siti. Tolonglah percaya pada saya. Pada Mama, pada Lisa, pada Didi dan Fifi. Kami
semua mengharapkan kepulangan Siti. Saya tak akan datang malam-malam begini kalau saya tak
ikhlas. Saya cintakan awak Siti!"
Siti menoleh. Pandangan mereka bertaut lama. Hati Siti jadi sebak. Akhirnya, kau lafazkan jua!
"Saat awak terima Azimin pun, cinta saya tak pernah mati."Wari menunduk. Walau apa cara
sekalipun, dia akan dapatkan Siti. Inilah peluangnya yang masih ada.
"Wari...."Siti cuba tenangkan dirinya. "Terima kasih kerana berterus terang dengan saya.....saya
hargainya.."
"Jadi..?"
"Saya akan fikirkan dulu..."
"Jangan hampakan saya Siti..."
"Kalau awak sanggup tunggu sampai esok?"Wari mula tersenyum. Rasa seperti ingin dipeluknya
Siti saat itu.
"Kenapa awak senyum? Saya belum habis cakap lagi. Kalau dulu Azimin jumpa mak dan bapak
saya sebab nak kawin dengan saya. Kalau awak sanggup buat macam tu.."
"Lebih dari itu...."Wari ketawa kecil. "Tapi ada syaratnya...."
"Syarat? hai...awak yang nak, awak yang bagi syarat?"
"Sebab bukan saya seorang yang nak, awak pun nak, kan. Siti, katakan sekali saja....."Wari
mendekati Siti. Menatap wajah Siti sungguh-sungguh. "Katakan yang awak pun sayangkan saya.."
Siti tarik nafas panjang. Hatinya berdegup kencang. Dia tidak sanggup lafazkannya.
"Saya akan lafazkannya...."Siti tatap matanya Wari lama. "Saya akan lafazkannya setelah awak lafazkan
akad nya...."
Wari tersenyum lebar. Segala gundah dan resahnya hilang pergi. Terasa malam yang pekat
menjadi terang benderang. Dia ingin ketawa sepuas hati. Digenggamnya jemari Siti erat. Dan Siti hanya
membiarkan saja. Biarlah. Biarlah kali ini hanya hati yang berkata 'ya'.
Tamat....
BACK